Friday, March 21, 2008

Janji Seorang Puteri - Di Manakah Sahabat Ku?








KENAPA HARUS DIPISAHKAN DENGAN SAHABATKU WALAUPUN RUPANYA TIDAK SEPERTI MANUSIA LAIN. SESUNGGUHNYA HANYA DIA YANG MAMPU MENGEMBALIKAN KEGEMBIRAAN DI DALAM HATIKU INI ...




“Kenapa Arash tidak datang menemuiku hari ini? Kenapa dia tidak mengendahkan panggilanku? Adakah dia sudah bosan untuk bersahabat dengan ku? Kalau begitu, kenapa dia meminta aku menemui dirinya setiap hari? Kenapa dia berjanji akan menceriakan hidup aku sedangkan dia tidak mampu untuk memenuhi janji itu. Dia yang mengukir janji tapi dia juga memungkirinya. Kenapa takdir hidup aku selalu begini? Baru sahaja aku ingin merasakan kegembiraan tetapi dengan cepat ia dirampas daripada aku. Kenapa Arash? Kenapa kau buat aku begini seperti barang yang tiada nilainya? Adakah persahabatan aku juga tidak berharga buatmu? Kenapa kau mewujudkan kembali kesedihan itu di dalam hatiku? Kenapa Arash? Kenapa?” Puteri Ezza merintih sayu lalu membawa dirinya ke salah sebuah batu yang terdapat di sungai itu lalu bertenggek ke atasnya sambil meratapi nasib malang dirinya. Apa yang menjadi kegembiraan hatinya semuanya telah dirampas. Kenapa takdir hidupnya begitu? Tidak layakkah dia untuk bergembira seumur hidupnya. Puteri Ezza menyeka air matanya yang semakin lebat turun membasahi pipi. Dia terkenang saat-saatnya bersama Arash. Dia rindukan dengan pemuda yang selalu menceriakan hatinya. Namun, dia tidak tahu kenapa Arash juga menyisihkan dirinya dalam persahabatan mereka. Dia tidak tahu apa kesalahannya sehingga Arash memutuskan persahabatan mereka tanpa sebarang kata. Puteri Ezza benar-benar sedih.

“Seorang diri sahaja hari ini? Tak bertemu sahabat tempang yang hodohkah? Hmm ... sunyi sungguh taman usang hari ini, tiada lagi burung-burung yang bernyanyi untuk menghiburkan hati yang lara.” Teguran Puteri Ezna secara tiba-tiba amat mengejutkan dirinya. Puteri Ezza segera memalingkan wajahnya menghadap wajah Puteri Ezna. Ternganga sedikit mulut Puteri Ezza kerana tidak percaya Puteri Ezna mampu mengesan tempat persembunyian yang merupakan tempat pertemuannya dengan Arash. Dia tidak tahu bagaimana rahsia tempat ini boleh terbongkar dengan begitu cepat sedangkan dia sudah berusaha untuk menyembunyikannya daripada pengetahuan orang. Bagaimanakah ia boleh terjadi? Puteri Ezza tidak mempunyai jawapannya.

“Kenapa adinda tengok kekanda macam tu? Adinda terkejut bagaimana kekanda boleh tahu tempat pertemuan adinda dengan pemuda tempang yang hodoh tu? Ha ha ha ... Sanggup adinda berkawan dengan dia yang tidak tahu daripada mana asal usulnya. Adinda tahu tak, apa yang adinda lakukan ini boleh memalukan ayahanda dan bonda sekiranya ada orang yang melihat ketika adinda bersama dengan pemuda yang tidak serupa manusia itu. Adinda tu puteri diraja, tolong jaga reputasi kita.” Sinis sekali sindiran Puteri Ezna. Puteri Ezza tiba-tiba naik radang apabila sahabatnya dihina sebegitu rupa.

“Kekanda Ezna! Kekanda tidak berhak untuk menghina sahabat adinda begitu. Kanda tidak tahu betapa murninya persahabatan yang dihulurkan oleh Arash. Hanya dia yang memahami adinda dan tahu apa keinginan hati adinda sedangkan kekanda yang merupakan kekanda kandung adinda sendiri tidak pernah cuba memahami keinginan hati adindanya. Adinda tidak bangga mempunyai kekanda sebagai kekanda adinda. Sepatutnya kita dua beradik boleh menjadi sahabat baik dan berkongsi segala-galanya tapi sayangnya kekanda tidak mahu dan menyisihkan adinda hanya kerana rupa adinda tidak secantik kekanda. Adinda tidak kisah bagaimana rupa Arash kerana bagi adinda dalam sesebuah persahabatan rupa paras tidak diambil kira. Untuk apa rupa paras yang elok sedangkan hati kita sering disakiti. Lebih baik rupa parasnya tidak cantik asalkan kita selesa bersahabat dengannya. Adinda tidak mahu mendengar apa-apa penghinaan kekanda terhadap Arash lagi. Dia sahabat adinda dan akan kekal begitu sehingga selama-lamanya.” Puteri Ezza meluahkan segala yang terbuku di dalam hatinya. Puteri Ezza berasa puas dapat meluahkan isi hatinya yang terpendam selama ini. Manakala wajah Puteri Ezna merona merah menahan rasa geram yang melanda di dalam hatinya.

Janji Seorang Puteri - Dirinya Diintai




WAJAH YANG TIDAK MENARIK, WAJARKAH MENJADI PENGHINAAN SEJAGAT SEDANGKAN IA ADALAH ANUGERAH ALLAH SWT ... DALAM DIAM PUTERI EZZA DIINTAI NAMUN TEGAKAH SI PENGINTAI MENUNJUKKAN DIRINYA?




“Apakah sememangnya lumrah di dalam dunia ini yang hodoh hanya berkawan dengan yang hodoh dan yang jelita hanya berkawan dengan yang jelita? Dimanakah keadilannya jika itu lumrah alam? Kenapa harus tercipta undang-undang sebegitu di dalam persahabatan? Tidak adil untuk kami yang berwajah hodoh, undang-undang sebegitu air sungai. Sememangnya tidak adil dan ia terlalu kejam. Aku tidak dapat menerimanya, air sungai. Aku sunyi tanpa teman berbicara. Aku sepi kerana tiada siapa yang sudi melayani aku. Kenapa kekanda Ezna selalu memulaukan aku? Apa salah aku? Adakah kerana aku berwajah hodoh maka itu menjadi kesalahan aku untuk rapat dengan kekanda Ezna? Kekanda Ezna tidak patut melayani aku begitu kerana aku adalah adinda kandungnya. Darah dagingnya sendiri. Kenapa layanannya begitu teruk buat aku? Aku tidak boleh tahan lagi, air sungai ... jika aku selalu diperlakukan seperti orang asing oleh kekanda Ezna. Hati aku sakit!” Puteri Ezza semakin terisak ketika dia memikirkan nasibnya yang tidak dihiraukan oleh kekanda kandungnya sendiri. Mata Puteri Ezza juga sudah bengkak dan merah akibat terlalu banyak menangis namun dia puas kerana dapat meluahkan apa yang tersirat di dalam hatinya dengan sikap Puteri Ezna selama ini. Dia sudah tidak mampu untuk memendam perasaan lagi.

Di kejauhan, Puteri Ezza tidak sedar ada sepasang mata yang sedang memandang ke arahnya dengan dalam. Orang itu turut merasai kesakitan yang dialami oleh Puteri Ezza, namun dia tidak mampu untuk menonjolkan diri walaupun hanya untuk memujuk Puteri Ezza yang sedang berduka kerana dia takut Puteri Ezza akan melarikan diri setelah melihat rupanya yang tidak serupa manusia. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk memandang Puteri Ezza daripada jauh sahaja. Itu lebih baik daripada menakutkan puteri itu.