Saturday, February 23, 2008

NOVEL TERLARIS 2007 IV: HANYA DIKAU : Cinta Datang Lagi ...


Bertemu dengan mu, bagaikan mendapat sebutir permata yang berharga. Adakah cinta itu bertandang lagi di hati ini. Mampukah aku mengharungi cinta itu semula dengan melupakan peristiwa lama yang masih kukuh mencengkam sanubari? Ahh … aku buntu untuk menilainya!


“Ira ... sebelum saya pergi ke Korea, saya ingin menyarungkan cincin berlian emas putih ini sebagai tanda untuk awak mengingati saya sepanjang ketiadaan saya. Saya harap, awak tidak akan menanggalkannya. Izinkan saya menyarungkannya sekarang.” Xu Da Feng terus menyarungkan cincin itu ke jari manis Ira Fashua di sebelah kiri dengan penuh perasaan romantis.

Sekali lagi Ira Fashua menarik nafas panjang dan lega kerana fikiran negatif yang datang bertandang tadi tidak seperti difikirkan. Alhamdulillah. Bibir Ira Fashua mengukir perlahan-lahan mengukir senyuman terharu kerana inilah kali pertama dia dihargai seumpama itu selepas dia dikecewakan dengan teruk suatu ketika dahulu. Bergenang air mata Ira Fashua ketika melihat cincin itu tersarung di jari manisnya. Melihat pada keadaan Ira Fashua, perlahan-lahan Xu Da Feng mengangkat wajah wanita yang semakin mendapat tempat di hatinya itu.

“Ira ... kenapa awak menangis? Saya pergi tidak lama Ira. Awak janji ye ... akan tunggu kepulangan saya.” Xu Da Feng menyapu air mata yang mula tumpah ke dataran pipi Ira Fashua.

“Sebenarnya saya terharu kerana selama ini tidak ada seorang pun yang menghargai saya seumpama ini. Terima kasih Da Feng kerana memberi impian yang indah untuk saya mengenanginya. Insyaallah ... jika saya telah dijanjikan berjodohan dengan awak, pasti kita akan bersatu kelak” Ira Fashua juga mengkalungkan harapan kepada Xu Da Feng kerana tiba-tiba sahaja keyakinan bertandang di hati Ira Fashua bahawa inilah jodohnya yang selama ini dinantikannya.

Ketika sandiwara itu sedang berlangsung dengan penuh dramatis, ketika itulah Erze Zullis memasuki bilik Ira Fashua tanpa mengetuk pintu biliknya terlebih dahulu. Terperanjat Ira Fashua dan Xu Da Feng ketika menerima kunjungan daripada Erze Zullis secara tiba-tiba. Pantas Ira Fashua mengesat air matanya yang telah tumpah kerana malu jika dilihat oleh Erze Zullis dan dia tidak mahu menjadi mangsa ejekan pemuda itu lagi.

“Hai Da Feng ... bila awak datang? Kenapa tak jumpa saya dulu? Ada apa-apa perkara yang mustahak ke?” Kasar sekali Erze Zullis menegur dan menghampiri kedua-dua mereka di mana tangan Xu Da Feng masih lagi menggenggam jari-jemari kanan Ira Fashua. Hatinya yang cemburu bertambah cemburu melihat kepada tautan tangan uda dan dara itu.

“Saya cuma datang untuk cek keadaan Ira sama ada dia sihat ataupun tidak dan ...” Sebelum sempat Xu Da Feng menghabiskan ayatnya, Erze Zullis menyampuk dengan pantas.

“Oh ... nak cek. Tengok Fashua ... dia dah jadikan awak kertas ujian.” Erze Zullis pantas menarik tangan Ira Fashua sehingga terlepas tautan tangan Xu Da Feng.

“Kertas ujian? Apa maksud dia?” Xu Da Feng mengerut dahi kehairanan. Ira Fashua menjeling geram kepada Erze Zullis yang tidak diundang kunjungannya ke situ.

“Tak ada ... dia cuma bergurau saja tu, Da Feng ... awak jangan ambil serius sangat dengan kata-katanya.” Ira Fashua cuba menutup perasaan geram yang telah pun bertandang di dalam hatinya dengan sebuah ukiran senyuman.


Wednesday, February 20, 2008

NOVEL TERLARIS 2007: III - HANYA DIKAU : Perbezaan Usia, Adakah Ia Menjadi Penghalang?


Perbezaan usia di antara kita tidak mampu menghalang diriku daripada terus mencintai dirimu … Tidak layakkah aku memiliki sekeping hatimu … IRA FASHUA! Walaupun diri ini lebih muda daripada dirimu. Berikan aku peluang, akan aku buktikan bahawa akulah yang terbaik dan terlayak untuk bertahta di hatimu …





“Helo, Ira sini. Siapa tu?” Ira Fashua tetap tidak lupa dengan bunga-bunga bahasanya apabila menjawab telefon.

“Fashua ... saya nak awak jangan menerima pinangan tu. Tolonglah. Saya merayu pada awak agar jangan menerima pinangan tu. Ye?” Ira Fashua mengerut dahi kehairanan dengan permintaan Erze Zullis itu.

‘Kenapa dengan Mr. Bean ni? Dah gila agaknya suka-suka hati suruh aku menolak pinangan tu sedangkan aku sudah pun menerimanya. Nak kena hamput dengan mama aku? Minta maaflah mamat tongkol, aku tak kan lakukan apa yang kau suruh kerana kau bukan pengarah di dalam hidup aku.’ Ira Fashua berdiskusi di dalam hati sebelum mengeluarkan kata-katanya.

“Awak dah gila ke ... nak suruh saya tolak pinangan tu sedangkan saya telah pun menerimanya. Awak nak mama saya hamput saya ke? Kenapa dengan awak ni, tiba-tiba bertukar watak? Awak jangan nak mengarah-arah saya kerana saya tak kan dengar cakap awak kali ni. Saya yang akan berkahwin jadi saya mempunyai hak untuk menentukan dengan siapa saya akan membina mahligai bahagia itu. Awak tak ada hak untuk masuk campur dalam urusan hidup saya. Faham?” Sedas peluru tembakan berpandu Ira Fashua berikan kepada Erze Zullis. Termangu-mangu Erze Zullis menerima jawapan itu, namun dia tidak berputus asa untuk memujuk hati degil Ira Fashua.

“Fashua tolonglah beri saya satu peluang untuk bertahta di hati awak. Saya janji akan membahagiakan awak hingga ke akhir hayat saya. Tolong jangan menerima pinangan itu kerana saya. Saya sudi menjadi suami awak dan membina mahligai bahagia yang awak sering impikan tu. Tolonglah Fashua ... jangan hampakan harapan hati saya.” Erze Zullis merayu dengan nada yang lebih romantis lagi sehinggakan membuat Ira Fashua terkedu seketika.

‘Biar betul? Pengarah aku ke tu? Hish ... tak mungkinlah!’ Ira Fashua menolak apa yang telah didengarnya lagi.

“Awak ni betul-betul dah hilang akal kot? Awak dengar baik-baik ... saya dah menerima pinangan itu dan saya tak kan berganjak dengan keputusan yang telah saya buat. Saya tetap akan berkahwin dengan orang yang telah meminang saya walaupun dia tidak menepati ciri-ciri lelaki idaman kalbu saya. Lagipun, saya tidak pernah menyukai awak, Erze Zullis. Sekelumit perasaan pun tidak pernah bertandang di hati saya untuk awak. Jadi, buat apa saya menolak pinangan tu kerana awak? Lainlah kalau saya menolak pinangan tu kerana Da Feng sebab saya sememangnya sudah jatuh hati dengan Da Feng. Namun, saya rasa ... jodoh saya telah ditetapkan dengan orang lain dan bukannya dengan Da Feng. Saya redha dalam menerima jodoh ini. Jadi, awak tak perlulah nak berangan-angan untuk melihat saya menolak pinangan itu kerana tiada apa yang akan berubah? Adakah penerangan itu jelas pada awak?” Ira Fashua telah menetap bisikan hatinya agar tidak tergoyah setelah pinangan yang datang diterimanya. Erze Zullis mendengus kasar di hujung talian.

“Awak ni memang degil! Awak dengar sini baik-baik Fashua ... saya berjanji dengan menjunjung Al-Quran bahawa satu hari nanti awak pasti akan menjadi milik saya. Hanya milik saya seorang! Faham? Orang lain tak kan boleh memiliki awak jika saya tak boleh memiliki awak!” Erze Zullis menghempas gagang telefon dengan satu perasaan geram yang melanda hatinya. Hati batu Ira Fashua memang sukar untuk dilembutkan. Ira Fashua sedikit bengang gegendang telinganya setelah gagang telefon dihempas oleh Erze Zullis.

“Dah gila agaknya budak kecik ni! Suka-suka hati dia saja nak aku ikut cakap dia. Dia ingat ... dia tu pengarah aku disepanjang hayat hidup aku ke? Tak padan dengan umur muda nak mengajar aku! Memang biul! Sewel! Mamat tongkol! Mr. Bean! Huh!” Ira Fashua juga menuruti jejak Erze Zullis dengan menghempas gagang telefon kepunyaannya di bilik pejabat itu untuk melepaskan kebengangan yang bersarang di hatinya.





Ahhh … Aku Tidak Tahu Bagaimana Lagi Untuk Menawan Sekeping Hatimu Yang Terlalu Keras Bak Batu Kerikil. Walau Apa Pun Terjadi Di Antara Kita, 1 Sahaja Ingin Aku Khabarkan Padamu Bahawa HANYA DIKAU Yang Sentiasa Bertahta Di Hatiku Dan Hanya Lelaki Ini Yang Selalu Mencintai Dirimu … Rintihan Hati Yang Lara : Erze Zullis



NOVEL TERLARIS 2007: II - HANYA DIKAU : Menyusahkan Aku Saja Budak Kecik Ni ...


Kenapa diri ini selalu disusahkan olehmu? Kekadang menerbitkan rasa benci yang menebal di hatiku ini hanya kerana kau sering menyusahkan aku!




“Helo.” Mata Ira Fashua masih lagi terpejam ketika menjawab panggilan telefon itu.

“Helo tuan puteri! Masih tidur lagi? Awak tahu tak sekarang ni sudah pukul berapa? Bila nak sampai ke pejabat? Encik Adzam dari Rubber Max dalam perjalanan ke sini, tahu tak ... untuk satu urusan jual beli yang telah awak sendiri persetujui. Pandai-pandai awak mengatur mesyuarat dengan mereka ... tak kan awak tak nak menghadirinya? Pengurus jenis apa awak ni, hah? Bangun cepat, awak dah tak ada masa nak bersantai-santai lagi sebab mesyuarat tu akan berlangsung pada pukul sepuluh pagi nanti. Kalau awak tak ada, sia-sia sahaja mereka datang. Faham?” Daripada mata yang masih mengantuk, kini mata Ira Fashua terbuka luas apabila mendengar suara gergasi yang menerjah ke lubang telinganya.

‘Apa hal mensyuarat akan berlangsung pada pukul sepuluh pagi hari ni pula ... Bukankah aku dah tetapkan pada hari Isnin pukul sepuluh pagi. Budak kecik ni saja nak mengganggu tidur aku. Cuti-cuti nak tidur lama sikit pun tak boleh.’ Ira Fashua menyedekahkan rungutan pertamanya buat Erze Zullis.

“Awak ni ... kenapa nak sindir-sindir orang ni? Saya dah tetapkan mesyuarat tu dengan Encik Adzam pada hari Isnin. Takkanlah mesyuarat yang akan berlangsung pada hari Isnin, Encik Adzam nak datang hari ni pula? Tak masuk akal betullah. Awak jangan nak main-mainkan saya.” Ira Fashua memarahi Erze Zullis yang telah mengganggu lenanya yang diulit intan.

“Siapa yang nak main-main ni? Awak tak tahu ke ...mesyuarat tu dah ditukar ke hari ni. Awak tak ada pilihan, Fashua ... awak kena datang hari ni juga. Hari Isnin tak ada sebarang mesyuarat untuk awak.” Jelas Erze Zullis dengan nada suara yang serius. Sekali lagi mata Ira Fashua terbuntang mendengarnya.

“Hah? Mesyuarat hari Isnin telah ditukarkan hari ni? Siapa yang tukar? Saya tak tukar pun? Encik Adzam sendiri yang setuju mesyuarat tu akan diadakan pada hari Isnin.” Ira Fashua masih lagi ingin bertegang urat dengan Erze Zullis.

“Saya yang tukarkannya kerana hari Isnin kita ada kerja lain yang lebih penting yang hendak dibuat. Maaf kerana memberitahu awak pada saat-saat yang terakhir? Saya tak peduli apa jua alasan awak ... awak kena sampai ke pejabat ini dalam masa setengah jam. Jangan biar tetamu kita menunggu kedatangan awak. Saya tak suka! Awak kena jaga prestasi syarikat kita juga.” Arah Erze Zullis lagi dengan nada yang semakin tegas. Ira Fashua terkumat-kamit mulutnya tanpa suara menahan rasa geram. Apabila tidak mendengar sebarang bicara balas daripada Ira Fashua, sekali lagi Erze Zullis menerjah suara kasarnya sehingga tertusuk terus ke dalam gegendang telinga Ira Fashua.

“Awak dengar tak? Jangan nak berkhayal lagi! Pergi siap cepat! Setengah jam saja, ingat?” Erze Zullis memberi amaran pula.

“Hei ... awak ingat rumah saya ni dekat ke nak sampai ke sana dalam masa setengah jam? Saya akan sampai ke sana dalam masa satu setengah jam. Saya tak peduli jika mereka terpaksa menunggu saya. Siapa suruh tukar waktu mesyuarat tak bagi tahu saya terlebih dahulu? Saja nak menyusahkan orang. Huh!” Ira Fashua menghempas kuat gagang telefon sehingga mampu membengangkan telinga Erze Zullis di sebelah sana. Walaupun telinganya bengang dengan hempasan telefon itu, namun Erze Zullis masih mampu menyimpul senyuman kerana dia telah berjaya mendera Ira Fashua sekali lagi.

NOVEL TERLARIS 2007: I - HANYA DIKAU : Perkenalan Kita ...


HANYA DIKAU

Perkenalan yang terjadi antara kita memang unik. Hanya kerana sepatu bertumit tinggi memutik pelbagai perasaanku pada mu ...

Pantas juga Ira Fashua mengatur langkah kaki ke balai ketibaan untuk menyambut kepulangan Nuradriana Hany. Dalam keadaan yang kelam kabut itu, Ira Fashua tidak sedar dia telah terpijak kaki salah seorang penumpang yang berada di dalam penerbangan yang sama dengan Nuradriana Hany. Habis bagasi orang itu terjatuh dan Ira Fashua terkejut dengan jeritannya yang garau dan kuat itu. Selamba sahaja Ira Fashua memandangnya tanpa perasaan bersalah. Bukan sahaja tanpa kata kemaafan, malah Ira Fashua boleh menjelajahi wajahnya dengan mata yang begitu poyo sekali. Melihat sahaja wajah Ira Fashua yang sebegitu rupa, sedikit kegeraman dan secalit kemarahan terpalit di dalam hati pemuda yang telah dipijak kakinya oleh Ira Fashua.

‘Wah ... boleh dia renung aku dengan wajah yang selamba? Bukan dia nak minta maaf ke apa ... macam aku pula yang pijak kakinya. Woi! Kaki aku ni masih berdenyut sakit tau! Dahlah kasut yang kau pakai tu bertumit tinggi halus. Kau ingat tak sakit ke kena pijak macam tu? Aku pakai kasut yang serupa, pijak kaki kau balik ... baru tahu!’ Pemuda itu menggerutu di dalam hati diatas sikap selamba Ira Fashua. Namun, lain pula bicara hati Ira Fashua di kala itu. Sempat lagi dia menilik perwatakan pemuda itu.

‘Sakit ke kaki tu? Aku pasti dah berdenyut sakan. Hahaha! Tapi aku peduli apa? Siapa suruh jalan tak tengok orang. Betul ke dia yang tak tengok orang atau aku yang tak nampak dia? Ah, lantaklah ... janji aku tak bersalah. Ye ke aku tak bersalah? Hehehe! Maaflah kawan, aku tak sengaja sebab aku nak cepat ni. Lain kali saja aku minta maaf, tu pun kalau kita berjumpa lagi. Nampak daripada gayanya macam muda lagi, dalam lingkungan dua puluh empat tahun kot kalau tak silap aku. Ah, budak-budak ... pasti dia boleh maafkan aku yang lebih tua daripadanya. Okeylah, aku pergi dulu.’ Galak Ira Fashua mengejek di dalam hatinya.

Ira Fashua mula hendak mengatur langkahnya semula kerana dia pasti Nuradriana Hany sudah keluar daripada balai ketibaan, namun sebelum sempat dia menyusun langkahnya ... diri Ira Fashua ditegur oleh pemuda yang masih berdenyut sakit kakinya.



Pertama kali memandang dirimu, hatiku telah terpaut. Kau mampu mengundang pelbagai rasa walaupun kita berlainan agama dan juga bangsa. Sesungguhnya, Hanya Dikau yang telah menarik rasa cinta untuk terus berputik di dalam hatiku ...
“Oh .. inilah Ira Fashua yang sering meniti namanya di bibir papa saya. Cantik orangnya dan mampu menawan kalbu.” Puji Xu Da Feng ikhlas. Ira Fashua semakin tersipu malu. Sememangnya penampilan Ira Fashua pada hari itu benar-benar menonjolkan kecantikan sebenar wanita Asia.

“Tak adalah ... saya biasa sahaja. Apakhabar Encik Da Feng?” Ira Fashua merendah diri.

“Saya puji awak dengan ikhlas, Ira. Awak sememangnya menawan dan jarang saya bertemu dengan wanita Asia secantik awak. Tidak rugi syarikat kami berkerjasama dengan kilang awak selama ini.” Xu Da Feng tetap tegas dengan kata-katanya. Ira Fashua tidak mampu untuk berkata-kata lagi selain menguntum seulas senyuman yang teramat indah untuk pemuja dirinya.

Erze Zullis yang berada berhampiran dengan mereka semakin menyemarak api cemburunya apabila mendengar pujian yang tinggi melangit dikalungkan untuk Ira Fashua. Dia tidak tahu kenapa perasaan itu harus hadir sedangkan selama ini dia tidak menghiraukan Ira Fashua. Lalu dengan wajah yang tebal dia menyelit dengan memperkenalkan dirinya kepada Xu Da Feng.

“Hai Encik Xu Da Feng. Saya Erze Zullis pengarah urusan kilang Armanis.” Erze Zullis menghulurkan tangannya kepada Xu Da Feng dan salamnya bersambut. Jelas terpancar pada wajah Erze Zullis ada riak tidak senang dengan kemesraan di antara Ira Fashua dan Xu Da Feng. Ira Fashua tidak mahu menimbulkan sebarang sengketa di antara mereka lalu dia turut memperkenalkan Erze Zullis yang telah datang bersama-sama dengannya.

IV - HATI INI MILIK SIAPA : Milik Akukah Bahagia Itu?








KEBAHAGIAAN YANG KU DAMBA, MAMPUKAH IA BERTANDANG SEMULA?




Puas hatiku dapat meluahkan apa yang terbuku di dalam karung dada ini.

Aku harap dengan penjelasan aku ini, Thalia akan jelas bagaimana bentuk perasaanku terhadap Hezriq selama ini.

“Berhenti!" suara ketegasan yang lantang kulaungkan untuk .....

Semua mata memandang ke arahku kini. Umi, abah, adik-beradikku, sanak saudaraku, keluarga Hezriq dan juga keluarga Danish saling berpandangan dengan sikapku itu. Habis sudah kesopanan bakal raja sehari yang telah kupupuk sedari tadi. Aku membalas setiap pandangan mata mereka dengan satu pandangan yang menjengkelkan.

III - HATI INI MILIK SIAPA: Editor Turun Padang, Tak Pernah Dibuat Orang...

PENYAMARAN DEMI PENA RINDU

Tiba-tiba Jass Extrada menunjukkan baju yang harus dipakai aku pada malam itu. Terjojol mata aku melihat potongannya. Pandangan kulemparkan kepada Fuaza Ilmi, Jimmy Shanley dan Detektif Azrol yang agak terperanjat dengan fesyen yang harus ku pakai. Seksi sekali potongannya dan aku rasa bila memakainya kelak sudah tentu akan nampak pangkal dada aku. Bagaimanakah hendak aku memakainya sedangkan selama ini aku tidak pernah pun memakai baju seksi seumpama itu. Geli-geleman aku! Waduh! Waduh! Peningnya kepalaku

“I kena pakai baju ni ke, Jass? Tak ada baju lain?” Aku ragu-ragu hendak memakainya sedangkan rasa malu sudah pun menyerbu di muka tatkala pandangan aku bertaut dengan Jimmy Shanley dan juga Detektif Azrol.

“You have no choice, Mira. Kalau you nak jadi orang lain you have to wear it. Baju ni sesuai untuk memikat hati lelaki. I yakin you akan berjaya melakukannya. You sudah mulakannya, Mira ... dan you harus tamatkannya.” Aku mengeluh berat sambil mengambil baju seksi itu di tangan Jass Extrada, lalu menyarungkannya ke tubuh di bilik persalinan yang telah disediakan.

Ketika aku keluar dengan pakaian seksi gila itu, Fuaza Ilmi telah pun menghamburkan ketawanya. Bukan sahaja Fuaza Ilmi, Jimmy Shanley dan juga Detektif Azrol sudah mula menyimpul senyuman yang meleret tatkala melihat aku memakai baju yang disediakan oleh Jass Extrada.

“Ya Allah Mira ... cutenya kau!! Tergoda aku!!”

Aku mencuka. ‘Setan kau, Azza perli ... aku pula,’ hatiku berdesis geram. Kalau tidak kerana penyamaran ini dan keinginan aku untuk turun padang, tak ingin aku hendak memakainya.

“Nak kena ni ... perli-perli aku pula!” Aku menunjukkan penumbuk sulung kepadanya kerana telah mengorek lahar radangku.

Ketawa Fuaza Ilmi semakin menjadi-jadi menyebabkan aku berpaling kepada Jass Extrada yang juga sedang tersengih melihatku dalam pakaian yang dia cipta sendiri. Jimmy Shanley dan Detektif Azrol tidak berani bersuara melainkan meleretkan senyuman mereka yang telah sedia terkuntum. Nasib baik mereka tidak bersuara, jika tidak ... mereka juga akan terkena dengan lahar radangku. Menyampah betul aku dengan kesemua mereka ini!!

“Jass, I tak selesa tau!”

“Selesakan diri dan nama you sekarang ... bukan lagi Ezmira tapi Cielo San Carlos. And your name Azza, Shane. This is both of your new identity card,” ujar Jass Extrada sambil menghulurkan kad pengenalan kami yang baru dalam penyamaran ini.




MAMPUKAH AKU MENYELESAIKAN MISTERI YANG TERUNDANG INI?


“Cuba buka lagi pintu-pintu tu, Jenny.” Aku tersenyum kecil. Perasaan ingin tahu sudah membuak di dada Fuaza Ilmi dan aku gembira kerana dia sudah pun berperasaan sama seperti aku. Perasaan takut, gentar dan gerun tiada lagi bertandang di hatinya.


Aku pantas membuka pintu-pintu yang terdapat sebanyak enam pintu kesemuanya. Apabila tiba di pintu yang terakhir, iaitu pintu yang keenam, tiba-tiba sahaja kami rasa seolah-olah disedut masuk tanpa dapat mengelakkan diri lagi. Setelah berada disebalik pintu-pintu misteri, secara automatik pintu-pintu yang terdahulunya tertutup dengan sendirinya. Terperanjat kami seketika. Fuaza Ilmi pantas bangun dan membuka kembali pintu yang tertutup itu tetapi hampa menyapa diri kerana pintu-pintu itu, tidak boleh dibukakan lagi walalupun sepenuh kudrat wanita yang dikerahnya. Nasib baik bilik kecil itu yang lebih berupakan lorong diterangi dengan lampu minyak tanah yang terlekat pada dada-dada dinding. Jadi, tidaklah gelap sangat kami berada di situ.

“Macam mana ni, Jenny? Pintu tak boleh buka dan kita terperangkap di sini. Hai... teruklah macam ni.” Fuaza Ilmi kembali runsing. Seperti selalu apabila keadaan seperti ini berlaku, aku terpaksa mengambil posisi menjadi penasihat dan penenteram yang profesional.

“Janganlah risau, Gracie. I yakin pasti ada kunci utama yang boleh kita keluar dari sini. Kita takkan terperangkap untuk jangka waktu yang lama. Kita harus mencari di mana kuncinya yang boleh membalikkan diri kita dari sini. Pintu-pintu tu rasanya hanya boleh masuk, tetapi tidak boleh keluar.” Fuaza Ilmi menelanjangi wajahku mencari kepastian apa yang aku cakapkan ini bukanlah hanya omong-omong kosong, tetapi merupakan satu harapan.

“Kenapa tenung I macam tu? Betullah apa yang I cakap ni bukannya nak main-main. Jomlah kita mula mencari. Kalau you nak tidur kat sini, tak apa lah...” Selamba sahaja aku berkata-kata, lalu berjalan menuju ke lorong yang terdapat disebelah kiri dahulu. Terbuntang mata Fuaza Ilmi mendengar akan struktur ayatku itu.

“Siapa yang nak tidur kat sini... kat lorong gelap ni? Bagi sejuta pun belum tentu I setuju, tau. Eh Jenny ... kenapa you mula dari kiri, tak mula dari kanan dulu?” Fuaza Ilmi kembali bersuara setelah tersedar diri dipersendakan.

“Sebelah kanan tu tengok macam tak ada yang interesting. Tetapi di sebelah kiri macam pelik sikit bentuknya. Lebih baik mula dari sini dulu.”

Selepas itu kami mula bekerja keras mencari punat atau apa-apa sahaja yang merupakan kunci untuk kami keluar dari bilik lorong itu. Habis seluruh dinding itu kami terokai. Agak lama juga. Setelah penat menyapa diri, akal mengarahkan agar berehat untuk seketika dan itulah yang kami lakukan.

“Jenny, takkan tak ada dinding yang boleh menterbalikkan diri kita?”
“I rasa ada. Tapi kita tak tahu di mana ia tersembunyi. Pencarian harus diteruskan lagi.”

Mataku mula meliar semula meninjau ke sekeliling kawasan bilik lorong itu. Penat mata meliar, aku merehatkan ia seketika. Baru sahaja aku hendak menyandarkan badan yang letih ini pada dinding berhadapan pintu yang telah mendamparkan kami ke dalam ini, aku terasa seperti ada benda yang menyucuk di belakang ku.

Pantas aku berpaling menghadap dinding itu semula. Dinding yang berhabuk dengan sarang labah-labah itu kusapu habuknya, lalu aku terlihat akan sebuah pintu yang teramat kecil. Pertemuan itu tidak kukhabarkan kepada Fuaza Ilmi yang sedang leka menilik dinding di sebelah pintu masuk tadi bagi mencari jalan keluar.


Aku memulas kunci yang tergantung pada pintu itu. Kunci yang terlekat sama saiz seperti pintu yang terukir. Macam rumah pari-pari pula kurasakan. Macam-macam benda pelik yang terdapat di sini. Sebaik sahaja pintu itu dibuka, dinding pada pintu itu juga turut terpusing. Seperti mana kami disedut masa masuk mula-mula tadi, begitu juga kami disedut keluar di sebalik dinding yang terbina. Aku sempat menarik tangan Fuaza Ilmi yang berdekatan denganku sebelum dinding itu tertutup kembali dan kami tercampak pula di atas timbunan kertas-kertas yang telah dimasukkan ke dalam mesin pemotongan.


II - HATI INI MILIK SIAPA : Mampukah Hati Ini Ditawan Semula?

MAMPUKAH CINTA ITU MEMUTIK KELOPAK-KELOPAKNYA KEMBALI ...
“Hati yang terluka, Encik Jimmy ... memang payah untuk diubati, apatah lagi hendak membina kepercayaan pada cinta itu semula. Sebab itu saya lebih senang berkawan daripada berkasih kerana hati saya telah mati untuk membina cinta semula.” Aku mengambil posisi yang sama dengan Jimmy Shanley dalam meluahkan perasaan hati yang terpendam selama ini.

“Jangan matikan terus perasaan cinta itu, Mira ... kerana masih ada yang ikhlas menyayangi diri awak. Hanya mereka yang terluka sahaja dapat memahami di antara satu sama lain jika cinta itu wujud kembali. Awak boleh melupakannya untuk seketika tetapi jangan terus membunuhnya. Cuba untuk buka ruangan itu semula agar insan lain boleh bertakhta dan menabur kasih sejati kali ini ke dalam ladang kontang awak. Jom, Mira ... kita balik. Dah lewat benar ni.” Jimmy Shanley terus memimpin tangan aku untuk turun ke bawah.
Aku tersentuh dengan ungkapan yang diluahkan oleh Jimmy Shanley. Memang benar apa yang dikatakannya, namun hati aku masih belum boleh menerima mana-mana kehadiran lelaki lagi buat masa sekarang. Insya-Allah, mungkin suatu hari nanti ... pintu hati aku akan terbuka semula untuk insan yang bernama lelaki.


ANDAI DIA DITAKDIRKAN UNTUKKU ... ADAKAH HATI INI TEGA MENERIMA KEHADIRANNYA?