Friday, March 21, 2008

Janji Seorang Puteri - Di Manakah Sahabat Ku?








KENAPA HARUS DIPISAHKAN DENGAN SAHABATKU WALAUPUN RUPANYA TIDAK SEPERTI MANUSIA LAIN. SESUNGGUHNYA HANYA DIA YANG MAMPU MENGEMBALIKAN KEGEMBIRAAN DI DALAM HATIKU INI ...




“Kenapa Arash tidak datang menemuiku hari ini? Kenapa dia tidak mengendahkan panggilanku? Adakah dia sudah bosan untuk bersahabat dengan ku? Kalau begitu, kenapa dia meminta aku menemui dirinya setiap hari? Kenapa dia berjanji akan menceriakan hidup aku sedangkan dia tidak mampu untuk memenuhi janji itu. Dia yang mengukir janji tapi dia juga memungkirinya. Kenapa takdir hidup aku selalu begini? Baru sahaja aku ingin merasakan kegembiraan tetapi dengan cepat ia dirampas daripada aku. Kenapa Arash? Kenapa kau buat aku begini seperti barang yang tiada nilainya? Adakah persahabatan aku juga tidak berharga buatmu? Kenapa kau mewujudkan kembali kesedihan itu di dalam hatiku? Kenapa Arash? Kenapa?” Puteri Ezza merintih sayu lalu membawa dirinya ke salah sebuah batu yang terdapat di sungai itu lalu bertenggek ke atasnya sambil meratapi nasib malang dirinya. Apa yang menjadi kegembiraan hatinya semuanya telah dirampas. Kenapa takdir hidupnya begitu? Tidak layakkah dia untuk bergembira seumur hidupnya. Puteri Ezza menyeka air matanya yang semakin lebat turun membasahi pipi. Dia terkenang saat-saatnya bersama Arash. Dia rindukan dengan pemuda yang selalu menceriakan hatinya. Namun, dia tidak tahu kenapa Arash juga menyisihkan dirinya dalam persahabatan mereka. Dia tidak tahu apa kesalahannya sehingga Arash memutuskan persahabatan mereka tanpa sebarang kata. Puteri Ezza benar-benar sedih.

“Seorang diri sahaja hari ini? Tak bertemu sahabat tempang yang hodohkah? Hmm ... sunyi sungguh taman usang hari ini, tiada lagi burung-burung yang bernyanyi untuk menghiburkan hati yang lara.” Teguran Puteri Ezna secara tiba-tiba amat mengejutkan dirinya. Puteri Ezza segera memalingkan wajahnya menghadap wajah Puteri Ezna. Ternganga sedikit mulut Puteri Ezza kerana tidak percaya Puteri Ezna mampu mengesan tempat persembunyian yang merupakan tempat pertemuannya dengan Arash. Dia tidak tahu bagaimana rahsia tempat ini boleh terbongkar dengan begitu cepat sedangkan dia sudah berusaha untuk menyembunyikannya daripada pengetahuan orang. Bagaimanakah ia boleh terjadi? Puteri Ezza tidak mempunyai jawapannya.

“Kenapa adinda tengok kekanda macam tu? Adinda terkejut bagaimana kekanda boleh tahu tempat pertemuan adinda dengan pemuda tempang yang hodoh tu? Ha ha ha ... Sanggup adinda berkawan dengan dia yang tidak tahu daripada mana asal usulnya. Adinda tahu tak, apa yang adinda lakukan ini boleh memalukan ayahanda dan bonda sekiranya ada orang yang melihat ketika adinda bersama dengan pemuda yang tidak serupa manusia itu. Adinda tu puteri diraja, tolong jaga reputasi kita.” Sinis sekali sindiran Puteri Ezna. Puteri Ezza tiba-tiba naik radang apabila sahabatnya dihina sebegitu rupa.

“Kekanda Ezna! Kekanda tidak berhak untuk menghina sahabat adinda begitu. Kanda tidak tahu betapa murninya persahabatan yang dihulurkan oleh Arash. Hanya dia yang memahami adinda dan tahu apa keinginan hati adinda sedangkan kekanda yang merupakan kekanda kandung adinda sendiri tidak pernah cuba memahami keinginan hati adindanya. Adinda tidak bangga mempunyai kekanda sebagai kekanda adinda. Sepatutnya kita dua beradik boleh menjadi sahabat baik dan berkongsi segala-galanya tapi sayangnya kekanda tidak mahu dan menyisihkan adinda hanya kerana rupa adinda tidak secantik kekanda. Adinda tidak kisah bagaimana rupa Arash kerana bagi adinda dalam sesebuah persahabatan rupa paras tidak diambil kira. Untuk apa rupa paras yang elok sedangkan hati kita sering disakiti. Lebih baik rupa parasnya tidak cantik asalkan kita selesa bersahabat dengannya. Adinda tidak mahu mendengar apa-apa penghinaan kekanda terhadap Arash lagi. Dia sahabat adinda dan akan kekal begitu sehingga selama-lamanya.” Puteri Ezza meluahkan segala yang terbuku di dalam hatinya. Puteri Ezza berasa puas dapat meluahkan isi hatinya yang terpendam selama ini. Manakala wajah Puteri Ezna merona merah menahan rasa geram yang melanda di dalam hatinya.

No comments: