Thursday, September 18, 2008

Dakapan Kasih: II. Kata Dulang Paku Serpih

“Waalaikummussalam. Hei anak muda, siapa yang memberi keizinan pada kau memanggil aku dengan nama sayang? Dalam kad pengenalan aku, tak ada tercatit pun perkataan sayang di mana-mana. Mahupun di hujung ataupun dipangkalnya. Jadi, jangan sesekali kau berani memanggil aku dengan gelaran itu. Faham anak muda?” Irene Darvinna mengawal suaranya walaupun dia amat sakit hati. Ayreil Eiszacwan merenung tajam dan dalam ke anak mata Irene Darvinna. Pada mulanya Irene Darvinna cuba melawan tetapi akhirnya dia terpaksa menyerah kalah lalu melarikan anak matanya daripada ditenung. Sesungguhnya tenungan anak muda itu sememangnya menggerunkan.

Ish ... aku masih tak dapat lawan anak matanya. Irene Darvinna mengeluh sendiri. Manakala Ayreil Eiszacwan masih tidak lekang daripada terus menguntum senyuman.

Mana mungkin kau dapat tandingi tenungan aku yang tajam ini. Setakat ini tiada siapa lagi yang berani lawan mata dengan aku baik lelaki mahupun perempuan. Jadi, aku tetap juara dalam tenungan tajam. Jangan bermimpi kau dapat lawan aku, Irene. Apabila kau jadi isteri aku kelak, tenungan ini akan sentiasa menjadi milikmu untuk selama-lamanya dan akan kekal abadi. Ayreil Eiszacwan juga berbicara dengan hatinya sendiri ketika Irene Darvinna sudahpun melarikan anak matanya daripada terus ditenung.

“Irene sayang ... saya tidak biasa menerima arahan daripada seorang wanita dan saya akan panggil nama seseorang tu apa yang sedap di bibir saya sama ada awak suka ataupun tidak. Saya harap awak dapat membiasakan diri kerana panggilan ini akan sentiasa menjadi milik awak untuk selama-lamanya dan kekal abadi.” Irene Darvinna kembali memandang wajah Ayreil Eiszacwan dengan satu pandangan yang cukup sinis.

“Awak dah gila ke? Kenapa saya pula yang akan mendapat panggilan tu untuk selama-lamanya sedangkan Rosella yang lebih layak untuk panggilan yang awak gunakan pada saya. Diva di hati awak tu ... jangan awak lupa dengan kehadirannya kerana dia yang menetap di hati awak terlebih dahulu. Dan saya ... tak mungkin akan menjadi milik awak. Jadi, jangan bermimpi.” Irene Darvinna menunjukkan tepat jari telunjuknya ke hidung Ayreil Eiszacwan. Ayreil Eiszacwan tergelak kecil.


“Rosell ... saya boleh singkir dia bila-bila masa saja yang saya suka tapi awak ... memang sukar untuk saya lepaskan. Ala-ala cinta pandang pertama. Saya tetap tak kan lepaskan awak, Irene. Percayalah pada saya sayang ... Awak tetap akan jadi milik saya. Jika tidak hari ni, suatu hari nanti.”

“Awak memang dah gila dan hilang akal. Apa awak ingat perempuan ni macam patung ke? Bila awak suka, awak belai tapi bila awak dah jemu awak campak macam tu saja. Rosella mungkin telah menjadi koleksi anak patung bernyawa awak tapi bukan saya. Kerana saya tak kan benarkan diri saya menjadi salah seorang daripada koleksi anak patung bernyawa awak. Sudahlah Eiszac ... tak payah awak nak goda saya kerana saya sukar untuk termakan dengan godaan lelaki macam awak.” Sebagaimana Ayreil Eiszacwan yang bertegas untuk menjadikan Irene Darvinna miliknya, begitu jualah Irene Darvinna yang bertegas menolak kehadiran lelaki itu. Tiba-tiba sahaja Ayreil Eiszacwan memegang tangan Irene Darvinna membuatkan wanita itu terkejut. Belum sempat suaranya dilontarkan, tiba-tiba sahaja pegangan tangan Ayreil Eiszacwan terlepas dek dirempuh oleh seorang budak remaja lelaki. Ayreil Eiszacwan bengang lalu menyembur kemarahannya terhadap budak remaja lelaki itu yang dianggap kurang sopan.

“Kurang ajar betul. Sudahlah rempuh aku ... dia boleh buat dek saja tanpa meminta maaf. Betul-betul melampau budak-budak remaja zaman sekarang tak hormatkan orang yang lebih tua daripada mereka. Apa dalam dunia moden ini sudah hilangkah rasa hormat kepada orang yang lebih tua daripada mereka. Ish ... geramnya aku! Kalau aku jumpa kau sekali lagi ... siap kau aku ajarkan.” Ayreil Eiszacwan melepaskan segala kemarahannya yang membeku di hati tetapi seketika kemudian dia memandang kepada Irene Darvinna yang sedang tertawa kecil. Berkerut dahi Ayreil Eiszacwan yang tidak dapat menangkap maksud disebalik ketawa Irene Darvinna.

Dia ketawakan aku? Tapi kenapa? Bukannya lucu pun. Ish ... tak boleh jadi ni ... Ayreil Eiszacwan kembali merenungi wajah Irene Darvinna yang manis walaupun tanpa senyuman.

“Kenapa awak ketawakan saya?” Ayreil Eiszacwan inginkan kepastian.

“Kenapa awak nak marahkan budak ramaja tu sedangkan awak sendiri tak hormatkan orang yang lebih tua daripada awak. Sebelum awak mengajar budak remaja tadi cara-cara menghormati orang yang lebih tua, awak dulu yang harus mengamalkannya.” Sinis sekali dalam bicara Irene Darvinna kali ini.

“Apa maksud awak? Saya tak hormatkan orang yang lebih tua? Awak tak boleh tuduh saya secara melulu begitu.” Ayreil Eiszacwan mempertahankan dirinya. Irene Darvinna menyembur lagi ketawanya.

“Saya tidak menuduh kalau tidak melihatnya di depan mata. Tidakkah awak nampak apa yang cuba awak lakukan pada saya sama seperti budak remaja tu lakukan pada awak? Saya lebih tua daripada awak dan sepatutnya awak menghormati saya. Jadi, apa bezanya awak dengan budak remaja tu? Sama saja kan? Tak ada bezanya.” Irene Darvinna menyedekahkan senyuman terlebih sinisnya kepada Ayreil Eiszacwan.

“Ada bezanya sayang. Saya cintakan awak. Itu bezanya antara saya dengan budak remaja tadi.” Begitu berterus-terang Ayreil Eiszacwan meluahkan apa yang terbuku di hatinya membuatkan Irene Darvinna semakin terkejut.

“Apa yang awak merepek ni? Lepaskan saya.” Irene Darvinna sedikit meronta-ronta untuk melepaskan tangannya daripada terus berada di dalam genggaman Ayreil Eiszacwan, namun anak muda itu semakin memperkejapkan pegangannya sambil menguntum senyuman serta merenung tajam ala-ala penggoda kepada Irene Darvinna. Kebetulan, Rosella Rosell yang juga keluar membeli-belah telah terlihat Ayreil Eiszacwan memegang tangan Irene Darvinna lalu membuak-buak rasa kemarahannya terhadap Irene Darvinna tanpa mengetahui perbuatan sebenar Ayreil Eiszacwan.

No comments: