Thursday, September 18, 2008

Dakapan Kasih: III. Warkah Untuk Armand


Armand ... aku kembali mencoret untukmu bagi meluahkan perasaan yang membuku dihati. Sementara suami aku masih menonton televisyen, aku mengambil kesempatan ini untuk melakarkan sesuatu buatmu yang sudah agak lama kau ku tinggalkan kesepian. Maafkan aku Armand kerana sering mencarimu di kala hati aku dilanda ombak keresahan. Aku harap kau tak pernah jemu untuk mendengar setiap luahan hati yang lara ini, walaupun aku bahagia.


Kau tahu Armand ... Ixora yang keras hatinya untuk menerima aku sebagai ibu, telahpun berakhir kini. Alhamdulillah dengan berkat kesabaran aku selama ini, dia sudah pun dapat menerima kehadiran aku sepenuhnya di dalam hidupnya. Aku tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaan gembira aku ketika dia menerima diri ini. Bergenang air mata aku, Armand ... gembiranya hati seorang ibu tak mungkin sesiapa pun tahu. Namun, bukan itu yang ingin aku khabarkan pada kau. Disebalik cerita gembira, ada juga cerita kesangsian yang membelit dijiwa aku.

Armand ... aku tidak senang sekali dengan Eiszac. Ye lah ... memang aku yang mencipta hubungan persahabatan itu dengannya tetapi tujuan aku hanya satu iaitu untuk mengikis perasaan bencinya terhadap aku agar dia dapat menerima aku seadanya di dalam keluarga ini. Namun, persahabatan yang aku hulurkan telah disalahertikan olehnya, Armand. Aku tahu dia tidak menganggap aku sebagai seorang sahabat sahaja tetapi dia menganggap aku lebih daripada itu walaupun dia tahu bahawa impiannya tidak akan menjadi kenyataan.


Armand, aku dapat lihat sinar itu di matanya walaupun dia tidak meluahkan rahsia hatinya. Sinar itu begitu teguh sehingga aku takut untuk berdampingan dengannya lagi. Aku cuba mencari jalan keluar tetapi usaha aku tidak berjaya apabila dia sendiri merelakan sinar itu terus bertahta di dalam jiwanya walaupun dia telah mencipta sinar pada orang yang salah. Apa yang harus aku lakukan Armand agar dia tidak terus menerokai langit yang tidak boleh dicapai oleh tangannya?Aku takut dia terluka mahupun kecewa tetapi aku tidak boleh membantunya selagi dia tidak mahu membantu dirinya sendiri. Dia tahu hubungan kami adalah hubungan terlarang tetapi kenapa dia masih ingin mengundang sinar itu di matanya, di hatinya mahupun di jiwanya. Bagaimana aku ingin mengeluarkan sinar itu agar dia dapat memberikannya pada orang lain? Aku buntu Armand ... bantulah aku kerana aku sudah tidak berdaya. Aku benar-benar lemah setiap kali berhadapan dengannya apabila hubungan persahabatan yang diungkitkannya semula supaya aku menuruti segala kemahuannya. Mungkinkah aku sudah silap mencipta hubungan sehingga dia tidak mahu melepaskan aku daripada terus terikat di hatinya? Oh Armand ... aku tidak mampu untuk membalas setiap perasaan yang hadir di dalam dirinya kerana hati ini hanya untuk suami aku. Apa lagi rancangan yang harus aku aturkan agar dia menjauhi diri daripada aku?


Sebenarnya Armand ... aku tidak mahu mengikutnya ke parti malam Sabtu ini tetapi keizinan yang telah diberi oleh suami aku, membuatkan aku tidak berdaya untuk menolak permintaan Eiszac. Aku tidak tahu apa pula yang bakal menunggu aku di sana. Aku benar-benar takut Armand kerana aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak elok bakal berlaku tetapi apa? Aku susah hati sekarang Armand kerana hidup aku tidak sudah-sudah dilanda dengan masalah. Bantulah aku Armand ... datanglah ke sini untuk menolong aku. Aku perlukan kau sekarang ... Aku tidak mempunyai sesiapa lagi selain kau dan keluarga ini.

No comments: