Wednesday, October 22, 2008

II - MAHAKARYA CINTA : Lukisan Yan Amat Bermakna


Muammar singgah di bilik pejabat Zanzilawati Izzrunnie untuk melihat potret lukisan diri gadis itu dengan lebih dekat lagi kerana dia juga amat terpegun melihat keindahan yang dicitrakan di atas kanvas itu. Tidak pernah lagi mana-mana pekerjanya di Sunlight Advertising menerima sebuah lukisan yang begitu unik, sebagaimana Zanzilawati Izzrunnie. Begitu asyik dia melihat lukisan potret itu sehingga tidak sedar Zanzilawati Izzrunnie sudah pun pulang dari tandas.



Zanzilawati Izzrunnie sedikit terkejut melihat Muammar berada di dalam biliknya, namun dia tidak menjerit sebagaimana lazimnya kerana dia juga begitu asyik melihat Muammar merenungi potretnya. Tiba-tiba bibirnya menguntum senyuman yang begitu bermakna. Hatinya bagaikan digeletek hendak ketawa kerana sudah terbetik di mindanya untuk mengenakan pengarah muda itu. Dia menghampiri Muammar dengan gerak langkah yang amat perlahan lalu...
“Penceroboh! Penceroboh!”

Ya Rabbi... gema suara dari gunung Zanzilawati Izzrunnie mengejutkan Muammar daripada terus menatap potret wajah itu. Bagaikan hendak luruh jantungnya mendengar jeritan halus itu di gegendang telinganya. Bulat mata Muammar melihat Zanzilawati Izzrunnie yang sedang mengetawakannya. Ketawa Zanzilawati Izzrunnie menjadi semakin besar apabila melihat Muammar meletakkan tangannya di pinggang. Dia menekan-nekan perut dengan gaya marah Muammar.


“Awak ni kan... terkejut saya tau. Kalaulah saya ada lemah jantung, dah lama gelaran allahyarham saya sandang. Suara awak... ya Allah, lebih teruk daripada suara rimau di belantara. Tak boleh ke tegur lembut-lembut? Kan sedap sikit saya dengar. Ada ke muka saya yang tampan macam ni dikatakan penceroboh? Tak ada tokoh langsung, tau tak? Hee... geram saya tau!” Muammar meluahkan apa yang terkandung di dalam hatinya sebaik sahaja mendengar suara emas Zanzilawati Izzrunnie.

Sekali lagi Zanzilawati Izzrunnie menghamburkan ketawa dengan bersungguh-sungguh. Bukannya tahu takut dengan kemarahan yang terpancar daripada wajah Muammar. Seketika kemudian, Muammar juga turut ketawa bersama-sama dengan Zanzilawati Izzrunnie kerana wajah gadis itu amat lucu dengan ketawa besar yang jarang dilihat. Sesudah ketawa kedua-dua mereka reda, barulah Zanzilawati Izzrunnie mengatur bicaranya semula.


“Maaflah... saya tak pernah usik Encik Muammar. Sesekali nak juga tengok bagaimana wajah pengarah muda di Sunlight Advertising terkejut. Hmm... begitu rupanya. Tampan tapi lucu. Keh, keh, keh...” Sisa ketawa Zanzilawati Izzrunnie masih melekat di bibirnya.

Muammar juga turut tersengih dengan gelagat happy go lucky gadis itu. Memang benarlah gelaran yang diberi oleh staf-staf di situ. Zanzilawati Izzrunnie memang seorang pencetus keceriaan syarikat itu.

“Seronok dapat kenakan saya?” Jegil Muammar, tidak menjadi.

“Bolehlah tahan. Apa yang Encik Muammar renungkan pada potret saya tu?” Zanzilawati Izzrunnie mula mencungkil rahsia.

“Selama saya berada di sini, tak pernah seorang pun daripada staf saya menerima kejutan seperti awak. Dan, lukisan ini begitu unik sekali. Nampak hidup. Cantik. Gantungkan di pejabat ni saja ya? Saya suka melihatnya,” pinta Muammar bersungguh-sungguh.

“Lukisan saja cantik? Orang yang sebenar tak cantik ke?” Zanzilawati Izzrunnie menduga.

“Cantik... tapi sayang tak dapat dimiliki.” Jelingan Muammar penuh bermakna.

“Dah tak cuba, mana tahu tak dapat dimiliki? Kita ni dah lama menunggu isyarat dia tapi dia sengaja buat-buat tak faham. Dah adat manusia, kalau tak ada persaingan memang tak nampak kewujudan dia di depan mata tapi kalau persaingan itu sudah wujud di arenanya, barulah nampak sesuatu yang tidak pernah dihiraukan. Maklumlah... hanya potret aje yang menarik sedangkan wajah yang sebenar langsung tak dapat menarik hati sesiapa jua.” Zanzilawati Izzrunnie juga tidak mahu mengalah di medan bicara.

Terkedu Muammar seketika dengan kata-kata selamba dari dua ulas bibir Zanzilawati Izzrunnie. Tiba-tiba sahaja dada Muammar dipanah debaran rasa yang maha kencang. Dia tidak menyangka itu jawapan yang diperolehinya daripada gadis yang begitu mesra sekali dengan Zuraizee. Muammar menghala lensa matanya tepat ke bebola mata Zanzilawati Izzrunnie dan Zanzilawati Izzrunnie dengan berani membalas renungan Muammar tanpa rasa malu.

“Benarkah seperti apa yang awak katakan itu?” Muammar ingin penjelasan dan kali ini Zanzilawati Izzrunnie menayangkan wajah yang terlalu selamba.

“Kata apa? Saya ada kata apa-apa ke?” Zanzilawati Izzrunnie masih merenungi Muammar dengan gaya yang penuh menggoda bersama senyuman manis yang jarang ditonjolkannya.

Muammar terkeliru sendiri dengan sikap gadis itu. “Saya dengar tadi, awak balas bicara saya. Takkan saya dalam dunia khayalan?” Muammar menggaru-garu kepalanya yang sedikit gatal kerana disimbahi peluh dingin.

No comments: