Thursday, September 18, 2008

Dakapan Kasih: III. Warkah Untuk Armand


Armand ... aku kembali mencoret untukmu bagi meluahkan perasaan yang membuku dihati. Sementara suami aku masih menonton televisyen, aku mengambil kesempatan ini untuk melakarkan sesuatu buatmu yang sudah agak lama kau ku tinggalkan kesepian. Maafkan aku Armand kerana sering mencarimu di kala hati aku dilanda ombak keresahan. Aku harap kau tak pernah jemu untuk mendengar setiap luahan hati yang lara ini, walaupun aku bahagia.


Kau tahu Armand ... Ixora yang keras hatinya untuk menerima aku sebagai ibu, telahpun berakhir kini. Alhamdulillah dengan berkat kesabaran aku selama ini, dia sudah pun dapat menerima kehadiran aku sepenuhnya di dalam hidupnya. Aku tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaan gembira aku ketika dia menerima diri ini. Bergenang air mata aku, Armand ... gembiranya hati seorang ibu tak mungkin sesiapa pun tahu. Namun, bukan itu yang ingin aku khabarkan pada kau. Disebalik cerita gembira, ada juga cerita kesangsian yang membelit dijiwa aku.

Armand ... aku tidak senang sekali dengan Eiszac. Ye lah ... memang aku yang mencipta hubungan persahabatan itu dengannya tetapi tujuan aku hanya satu iaitu untuk mengikis perasaan bencinya terhadap aku agar dia dapat menerima aku seadanya di dalam keluarga ini. Namun, persahabatan yang aku hulurkan telah disalahertikan olehnya, Armand. Aku tahu dia tidak menganggap aku sebagai seorang sahabat sahaja tetapi dia menganggap aku lebih daripada itu walaupun dia tahu bahawa impiannya tidak akan menjadi kenyataan.


Armand, aku dapat lihat sinar itu di matanya walaupun dia tidak meluahkan rahsia hatinya. Sinar itu begitu teguh sehingga aku takut untuk berdampingan dengannya lagi. Aku cuba mencari jalan keluar tetapi usaha aku tidak berjaya apabila dia sendiri merelakan sinar itu terus bertahta di dalam jiwanya walaupun dia telah mencipta sinar pada orang yang salah. Apa yang harus aku lakukan Armand agar dia tidak terus menerokai langit yang tidak boleh dicapai oleh tangannya?Aku takut dia terluka mahupun kecewa tetapi aku tidak boleh membantunya selagi dia tidak mahu membantu dirinya sendiri. Dia tahu hubungan kami adalah hubungan terlarang tetapi kenapa dia masih ingin mengundang sinar itu di matanya, di hatinya mahupun di jiwanya. Bagaimana aku ingin mengeluarkan sinar itu agar dia dapat memberikannya pada orang lain? Aku buntu Armand ... bantulah aku kerana aku sudah tidak berdaya. Aku benar-benar lemah setiap kali berhadapan dengannya apabila hubungan persahabatan yang diungkitkannya semula supaya aku menuruti segala kemahuannya. Mungkinkah aku sudah silap mencipta hubungan sehingga dia tidak mahu melepaskan aku daripada terus terikat di hatinya? Oh Armand ... aku tidak mampu untuk membalas setiap perasaan yang hadir di dalam dirinya kerana hati ini hanya untuk suami aku. Apa lagi rancangan yang harus aku aturkan agar dia menjauhi diri daripada aku?


Sebenarnya Armand ... aku tidak mahu mengikutnya ke parti malam Sabtu ini tetapi keizinan yang telah diberi oleh suami aku, membuatkan aku tidak berdaya untuk menolak permintaan Eiszac. Aku tidak tahu apa pula yang bakal menunggu aku di sana. Aku benar-benar takut Armand kerana aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak elok bakal berlaku tetapi apa? Aku susah hati sekarang Armand kerana hidup aku tidak sudah-sudah dilanda dengan masalah. Bantulah aku Armand ... datanglah ke sini untuk menolong aku. Aku perlukan kau sekarang ... Aku tidak mempunyai sesiapa lagi selain kau dan keluarga ini.

Dakapan Kasih: II. Kata Dulang Paku Serpih

“Waalaikummussalam. Hei anak muda, siapa yang memberi keizinan pada kau memanggil aku dengan nama sayang? Dalam kad pengenalan aku, tak ada tercatit pun perkataan sayang di mana-mana. Mahupun di hujung ataupun dipangkalnya. Jadi, jangan sesekali kau berani memanggil aku dengan gelaran itu. Faham anak muda?” Irene Darvinna mengawal suaranya walaupun dia amat sakit hati. Ayreil Eiszacwan merenung tajam dan dalam ke anak mata Irene Darvinna. Pada mulanya Irene Darvinna cuba melawan tetapi akhirnya dia terpaksa menyerah kalah lalu melarikan anak matanya daripada ditenung. Sesungguhnya tenungan anak muda itu sememangnya menggerunkan.

Ish ... aku masih tak dapat lawan anak matanya. Irene Darvinna mengeluh sendiri. Manakala Ayreil Eiszacwan masih tidak lekang daripada terus menguntum senyuman.

Mana mungkin kau dapat tandingi tenungan aku yang tajam ini. Setakat ini tiada siapa lagi yang berani lawan mata dengan aku baik lelaki mahupun perempuan. Jadi, aku tetap juara dalam tenungan tajam. Jangan bermimpi kau dapat lawan aku, Irene. Apabila kau jadi isteri aku kelak, tenungan ini akan sentiasa menjadi milikmu untuk selama-lamanya dan akan kekal abadi. Ayreil Eiszacwan juga berbicara dengan hatinya sendiri ketika Irene Darvinna sudahpun melarikan anak matanya daripada terus ditenung.

“Irene sayang ... saya tidak biasa menerima arahan daripada seorang wanita dan saya akan panggil nama seseorang tu apa yang sedap di bibir saya sama ada awak suka ataupun tidak. Saya harap awak dapat membiasakan diri kerana panggilan ini akan sentiasa menjadi milik awak untuk selama-lamanya dan kekal abadi.” Irene Darvinna kembali memandang wajah Ayreil Eiszacwan dengan satu pandangan yang cukup sinis.

“Awak dah gila ke? Kenapa saya pula yang akan mendapat panggilan tu untuk selama-lamanya sedangkan Rosella yang lebih layak untuk panggilan yang awak gunakan pada saya. Diva di hati awak tu ... jangan awak lupa dengan kehadirannya kerana dia yang menetap di hati awak terlebih dahulu. Dan saya ... tak mungkin akan menjadi milik awak. Jadi, jangan bermimpi.” Irene Darvinna menunjukkan tepat jari telunjuknya ke hidung Ayreil Eiszacwan. Ayreil Eiszacwan tergelak kecil.


“Rosell ... saya boleh singkir dia bila-bila masa saja yang saya suka tapi awak ... memang sukar untuk saya lepaskan. Ala-ala cinta pandang pertama. Saya tetap tak kan lepaskan awak, Irene. Percayalah pada saya sayang ... Awak tetap akan jadi milik saya. Jika tidak hari ni, suatu hari nanti.”

“Awak memang dah gila dan hilang akal. Apa awak ingat perempuan ni macam patung ke? Bila awak suka, awak belai tapi bila awak dah jemu awak campak macam tu saja. Rosella mungkin telah menjadi koleksi anak patung bernyawa awak tapi bukan saya. Kerana saya tak kan benarkan diri saya menjadi salah seorang daripada koleksi anak patung bernyawa awak. Sudahlah Eiszac ... tak payah awak nak goda saya kerana saya sukar untuk termakan dengan godaan lelaki macam awak.” Sebagaimana Ayreil Eiszacwan yang bertegas untuk menjadikan Irene Darvinna miliknya, begitu jualah Irene Darvinna yang bertegas menolak kehadiran lelaki itu. Tiba-tiba sahaja Ayreil Eiszacwan memegang tangan Irene Darvinna membuatkan wanita itu terkejut. Belum sempat suaranya dilontarkan, tiba-tiba sahaja pegangan tangan Ayreil Eiszacwan terlepas dek dirempuh oleh seorang budak remaja lelaki. Ayreil Eiszacwan bengang lalu menyembur kemarahannya terhadap budak remaja lelaki itu yang dianggap kurang sopan.

“Kurang ajar betul. Sudahlah rempuh aku ... dia boleh buat dek saja tanpa meminta maaf. Betul-betul melampau budak-budak remaja zaman sekarang tak hormatkan orang yang lebih tua daripada mereka. Apa dalam dunia moden ini sudah hilangkah rasa hormat kepada orang yang lebih tua daripada mereka. Ish ... geramnya aku! Kalau aku jumpa kau sekali lagi ... siap kau aku ajarkan.” Ayreil Eiszacwan melepaskan segala kemarahannya yang membeku di hati tetapi seketika kemudian dia memandang kepada Irene Darvinna yang sedang tertawa kecil. Berkerut dahi Ayreil Eiszacwan yang tidak dapat menangkap maksud disebalik ketawa Irene Darvinna.

Dia ketawakan aku? Tapi kenapa? Bukannya lucu pun. Ish ... tak boleh jadi ni ... Ayreil Eiszacwan kembali merenungi wajah Irene Darvinna yang manis walaupun tanpa senyuman.

“Kenapa awak ketawakan saya?” Ayreil Eiszacwan inginkan kepastian.

“Kenapa awak nak marahkan budak ramaja tu sedangkan awak sendiri tak hormatkan orang yang lebih tua daripada awak. Sebelum awak mengajar budak remaja tadi cara-cara menghormati orang yang lebih tua, awak dulu yang harus mengamalkannya.” Sinis sekali dalam bicara Irene Darvinna kali ini.

“Apa maksud awak? Saya tak hormatkan orang yang lebih tua? Awak tak boleh tuduh saya secara melulu begitu.” Ayreil Eiszacwan mempertahankan dirinya. Irene Darvinna menyembur lagi ketawanya.

“Saya tidak menuduh kalau tidak melihatnya di depan mata. Tidakkah awak nampak apa yang cuba awak lakukan pada saya sama seperti budak remaja tu lakukan pada awak? Saya lebih tua daripada awak dan sepatutnya awak menghormati saya. Jadi, apa bezanya awak dengan budak remaja tu? Sama saja kan? Tak ada bezanya.” Irene Darvinna menyedekahkan senyuman terlebih sinisnya kepada Ayreil Eiszacwan.

“Ada bezanya sayang. Saya cintakan awak. Itu bezanya antara saya dengan budak remaja tadi.” Begitu berterus-terang Ayreil Eiszacwan meluahkan apa yang terbuku di hatinya membuatkan Irene Darvinna semakin terkejut.

“Apa yang awak merepek ni? Lepaskan saya.” Irene Darvinna sedikit meronta-ronta untuk melepaskan tangannya daripada terus berada di dalam genggaman Ayreil Eiszacwan, namun anak muda itu semakin memperkejapkan pegangannya sambil menguntum senyuman serta merenung tajam ala-ala penggoda kepada Irene Darvinna. Kebetulan, Rosella Rosell yang juga keluar membeli-belah telah terlihat Ayreil Eiszacwan memegang tangan Irene Darvinna lalu membuak-buak rasa kemarahannya terhadap Irene Darvinna tanpa mengetahui perbuatan sebenar Ayreil Eiszacwan.

Dakapan Kasih: I. Seronoknya Mereka ...



Sebaik sahaja Irene Darvinna mengalih tubuhnya hendak mengambil air getah, tiba-tiba sahaja air itu menyimbah ke wajah dan seluruh tubuhnya. Lencun Irene Darvinna dibasahi air pancutan getah yang dilancarkan oleh Hirzi dan juga Iris Leona. Bercekak pinggang Irene Darvinna memandang kepada kedua-dua anak kecil itu.

“Heh ... apa yang kau orang buat ni hah? Siapa suruh main air getah tu? Nak kena dah budak-budak ni.” Irene Darvinna meletakkan penyedok tangan lalu mengejar Iris Leona dan juga Hirzi yang telah membasahkan dirinya.

Apabila Irene Darvinna tidak dapat mengejar mereka, dia berpatah semula lalu mengambil air getah itu dan menyembur ke arah mereka walaupun dalam jarak yang jauh. Bukan sahaja Iris Leona dan Hirzi yang kena sembur dengan air getah itu tetapi Elee Mardiana serta Leia Ixora juga terkena tempiasnya sekali. Dengan itu perang air sudah meletus di antara kelima-lima mereka secara spontan. Mereka amat gembira sekali dalam peperangan air yang tercetus. Tanpa disedari ketika air getah itu beralih ke tangan Leia Ixora, tiba-tiba sahaja Leia Ixora menyembur ke arah seseorang lalu basah kuyup anak muda itu. Apa lagi ... melenting sakanlah dia.
myspace icons

“Hei ... apa yang kau orang main ni hah? Nak demam ke?” Besar sekali suara Ayreil Eiszacwan melenting ke arah mereka sehingga membuatkan kegembiraan yang baru bermula mati secara tiba-tiba. Terkaku mereka memandang ke arah Ayreil Eiszacwan yang basah lencun itu. Dalam keadaan yang tegang itu, Irene Darvinna mengambil air getah yang masih berada di dalam genggaman Leia Ixora, lalu memandang tepat ke wajah Ayreil Eiszacwan.

“Kenapa awak marah-marah ni? Cemburu ke melihat kegembiraan mereka? Bukan selalu mereka nak bergembira macam ni ... sekali sekala apa salahnya? Macamlah awak tak pernah main seperti mereka sewaktu kecil dulu. Baik sangatkah awak ni?” Sinis sekali Irene Darvinna bersuara membuatkan Ayreil Eiszacwan mencerlang memandang ke arah wanita itu.
myspace icons

“Memang saya ...” Belum pun sempat bait-bait ayat Ayreil Eiszacwan dilengkapkan, tiba-tiba sahaja dia disemburkan sekali lagi dengan air getah yang berada di tangan Irene Darvinna. Terperanjat besar Ayreil Eiszacwan dengan perlakuan Irene Darvinna secara spontan itu. Tiba-tiba sahaja, Ayreil Eiszacwan mengejar mereka dengan memancutkan air getah yang telah dicampak ke tanah oleh Irene Darvinna dan dalam sekelip mata sahaja peperangan air getah kembali meletus. Mereka nampak gembira dengan permainan spontan yang telah dicetuskan oleh Iris Leona bersama Hirzi dan telah diperkembangkan oleh Irene Darvinna serta Leia Ixora dan Elee Mardiana.

Sesudah puas bermain dengan air, Irene Darvinna mengajak kesemua anak-anak buahnya itu ke bilik mandi untuk dimandikan sebelum memulakan masakan untuk tengah hari pula. Sesungguhnya mereka amat gembira berada di rumah Irene Darvinna pada cuti hujung minggu itu. Sesudah mengarahkan anak-anak kecil itu ke bilik air, Irene Darvinna masuk ke dalam biliknya mengambil sehelai kemeja T serta tuala untuk Ayreil Eiszacwan dan keluar semula. Irene Darvinna menyerahkan tuala dan kemeja T supaya Ayreil Eiszacwan dapat menyalin sebelum pulang ke rumahnya.
myspace icons

“Nah, t-shirt dan tuala. Awak boleh menyalinnya di bilik air yang berada di tingkat atas sementara saya memandikan budak-budak tu di tingkat bawah. Awak jangan marah pada mereka sebab bukan selalu mereka boleh bermain macam ni. Mula-mula tu, saya pun angin juga tapi bila melihat kegembiraan yang terpancar di wajah mereka, saya rasa tak wajar saya mematikan kegembiraan mereka macam tu saja. Kita juga pernah kecil dan saya harap awak dapat memahami perasaan kanak-kanak yang sentiasa sukakan kepada kegembiraan. Sebelum pulang, awak makan di rumah saya dulu sebab Ixora nak belajar masak dengan saya.” Panjang lebar Irene Darvinna berceramah dengan Ayreil Eiszacwan, takut-takut dia memarahi Leia Ixora dan Iris Leona pula semasa pulang nanti. Mata Ayreil Eiszacwan tetap tajam menikam ke anak mata Irene Darvinna, di mana wanita itu cuba melarikan matanya daripada bertentangan dengan mata Ayreil Eiszacwan yang sedang tersenyum itu.
myspace icons