Monday, February 16, 2009

Jangan Kau Tangisi: EDISI UMRAN ZAHINI


“Tentulah I cemburu bakal isteri I bersayang-sayang dengan orang lain. Siapa yang tak cemburu sayang oii. You tau tak Hezzy, budaya cinta di sini lain sikit caranya daripada biasa. It’s so romantic when we are in love.” Umran Zahini memancing reaksi Haifa Hezzy kerana ingin mengajaknya turut berada di alam percintaan suasana Filipina tanpa menjawab soalan gadis itu terlebih dahulu.

“Macam mana tu?” Pancingan Umran Zahini mengena kerana Haifa Hezzy agak berminat untuk mengetahuinya.

“Mereka yang bercinta di sini pasti ada nama manja untuk pasangan masing-masing. Seronok tau bila dengar mereka memanggil kekasih mereka dengan nama yang telah dipilih. Rasa bahagia sangat dan dunia ni seperti mereka yang punya.” Umran Zahini menerangkan secara mendalam dan Haifa Hezzy sudah faham dengan maksud yang hendak disampaikannya.


“Jadi, you pun nak kita ada nama manja masing-masinglah? Begitu?” Haifa Hezzy tidak jemu menatap wajah pujaan hatinya. Umran Zahini mengulum senyuman.

“Kalau boleh. Tapi you bolehkanlah juga ya.” Rayu Umran Zahini. Rayuannya yang sebeginilah membuatkan Haifa Hezzy tidak betah untuk menolak setiap permintaannya.

“Nama manja apa yang kita nak guna?” Haifa Hezzy juga sudah mula terpikat dengan percintaan gaya Filipina. Apa salahnya mencuba sekadar untuk menghiburkan pasangan hati masing-masing. Bukannya melanggar peraturan dalam Islam pun. Kan ...

“I ada fikirkan satu nama. Apa kata you panggil I honey dan I panggil you sweetheart?” Cadang Umran Zahini tetapi tidak disetujui oleh Haifa Hezzy kerana panggilan untuk dirinya tidak berapa enak.


“Tak naklah panggil honey terus, I seganlah. Apa kata I panggil you Han untuk singkatan honey dan you panggil I Babe untuk singkatan baby. Sweetheart tak sedaplah.” Haifa Hezzy pula mencadangkan dan cadangan itu terus diterima oleh Umran Zahini kerana singkatan nama manja yang dipilih begitu ideal sekali.

“I setuju. Mulai dari sekarang, I panggil you Babe dan you panggil I Han.” Umran Zahini terseyum puas.

“Okey Han. Tapi you tak jawab lagi soalan I kenapa you datang sini? Sepatutnya you keluar dengan papa you kan?” Haifa Hezzy masih menagih jawapan yang masih belum dijawab oleh Umran Zahini kerana pemuda itu telah menukar topik perbualan mereka.

“I datang cari youlah. Program dengan bapa I dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Sebenarnya Babe, I nak bawa you ke satu tempat. You siap sekarang ya, I tunggu you kat bawah.” Umran Zahini menyatakan hasratnya.

“Ke mana?”

“Rahsia.” Umran Zahini menarik tangan Haifa Hezzy turun daripada beranda supaya wanita itu dapat bersiap seberapa segera. Haifa Hezzy akur.

Jangan Kau Tangisi: EDISI FIZRAN


“Okeylah, okeylah ... Sebab Haiza tau Kak Effa sanggup lalu di depan rumah zoo negara tu. Kalau tak kerana Haiza, jangan haraplah!” Persetujuan daripada Haifa Hezzy amat menggembirakan Yuliar, dia amat berharap akan bertembung dengan Fizran. Manakala Haifa Hezzy pula sebaliknya berdoa di dalam hati agar tidak bertembung dengan Fizran.

‘Ya Allah, ya tuhan ku ... Janganlah jumpa dengan si labu tu.’ Haifa Hezzy terus berdoa sambil berjalan. Ketika ketiga mereka melintasi sahaja di hadapan rumah bujang itu, pelbagai suara yang dapat di dengar dari dalam rumah. Pelbagai bunyi yang dibuat sehingga membingitkan telinga Haifa Hezzy.

“Tu lah kau Yul. Kak Effa dah cakap jangan lalu sini tapi kau degil nak lalu juga. Tengok tu, pelbagai peliharaan zoo negara dapat di dengar. Sakit tau telinga ni.” Haifa Hezzy mengomel tetapi Yuliar hanya memekakkan sahaja telinganya sambil mencuri pandang ke arah rumah bujang itu seraya menghadiahkan sekuntum senyuman. Fizran yang baru pulang dari kerja sedang berehat di ruang tamu, begitu teruja dengan suara-suara yang dikeluarkan oleh rakan-rakannya lalu terus menjengah wajahnya ke luar pintu pagar. Hatinya begitu gembira melihat Haifa Hezzy yang berada di situ bersama Yuliar lalu Haifa Hezzy segera ditegurnya akibat terlalu rindu dengan gadis yang sering mengelak diri daripadanya. Fizran sendiri tidak tahu bagaimana Haifa Hezzy dapat menyembunyikan diri daripadanya sejak peristiwa di stesyen bas tempohari.


“Hai Temah, jogging ke?” Fizran menyedekahkan sekuntum senyuman yang teramat manis. Kaki Haifa Hezzy terhenti secara automatik apabila terdengar nama itu dilaungkan oleh Fizran dan kini Haifa Hezzy memandang Yuliar dan Haizana Hanny yang sudah pun menghamburkan ketawa yang kuat. Haifa Hezzy mengecilkan matanya lalu pandangan dibuang kepada Fizran pula. Sakit hatinya bila dilaung dengan nama itu.

“Hoi labu, kalau kau buat-buat tak nampak aku tak bolehkah? Sakit hati aku setiap kali kau panggil dengan nama tu tau. Kau ni memang suka memalukan aku tidak kira di mana tempat saja kau berada. Lain kali jangan tegur aku. Jangan tegur aku langsung, faham? Telinga aku pun tak sakit bila dengar suara kau!” Marah Haifa Hezzy membuatkan Fizran tersentak untuk kesekian kalinya. Apa pula kesalahannya kali ini. Kenapa setiap kali dia memanggil nama gadis itu, pastinya gadis itu akan melenting. Fizran semakin pelik dengan sikap Haifa Hezzy dan kenapa Haifa Hezzy bersikap demikian masih tidak dapat ditelahnya dengan betul. Hala mata Haifa Hezzy ditujukan pula buat Yuliar dan Haizana Hanny yang masih belum reda ketawa mereka. Haifa Hezzy membuat muka.

“Apa gelak-gelak? Diamlah! Jom!” Tangan Yuliar dan Haizana Hanny ditariknya kasar menuju ke rumah. Haizana Hanny terus bertanya kemusyikilan di hatinya sebaik sahaja mereka tiba di rumah.

“Mama Effa, kenapa uncle tu panggil Mama Effa Temah?” Haizana Hanny mencari sebuah kepastian.

“Uncle tu dah mereng. Haiza jangan cakap dengan dia atau tegur dia, faham?” Suara Haifa Hezzy masih lagi tinggi membuatkan Haizana Hanny mengangguk dan tidak berani hendak bersuara lagi.

Jangan Kau Tangisi: EDISI HUZAIFAH


“Abang!” Huzaifah segera memaling kepada yang memanggil dan dia agak terperanjat dengan kehadiran gadis itu. Dia menutup badannya yang tidak berbaju cuma bertuala sahaja. Maklumlah lelaki itu baru sahaja selesai mandi sebab itulah dia dalam keadaan yang tidak sepatutnya ditonton oleh Haifa Hezzy. Hati Haifa Hezzy sedikit tercuit dengan gelagat Huzaifah lalu menguntum senyuman di bibirnya. Matanya galak memandang Huzaifah yang kelihatan malu-malu. Hati Haifa Hezzy semakin digeletek lucu namun dicuba dengan sedaya upaya untuk menahan daripada terburai ketawanya.

“Effa?!! Macam mana boleh ada kat sini? Masuk dari mana?” Huzaifah kelihatan menggelabah ketika mula bersuara dengan tunangnya.

“Effa masuk dari pintu bang. Mak Aci Yang yang benarkan Effa jumpa abang di bilik. Maafkan Effa kerana datang secara mengejut. Tapi ada sesuatu yang perlu diselesaikan antara kita.” Haifa Hezzy bergurau spontan lalu mengulum senyuman lagi. Seketika kemudian, dia kembali serius semula. Huzaifah juga mengulum senyuman yang tidak menjadi menandakan dirinya sudah terkena dengan Haifa Hezzy.


“Nak bincang apa lagi Effa? Kita akan bernikah dalam beberapa hari lagi dan Effa tak sepatutnya datang ke bilik abang di waktu pernikahan kita yang semakin hampir ataupun Effa dah tak boleh tahan lagi?” Huzaifah bergurau nakal membuatkan Haifa Hezzy tidak gemar dengan gurauan seumpama itu, namun disabarkan hatinya dan kekal dalam situasi tenang.

“Abang Huzai, Effa datang sini bukan kerana dibawa oleh hawa nafsu tapi Effa datang dengan akal yang waras. Effa tak datang sini untuk diri Effa tapi Effa datang sini kerana Kak Anaz.” Haifa Hezzy tidak lepas dari terus menikam wajah Huzaifah. Huzaifah berrasa tidak selesa ketika nama Shahanaz disebut. Huzaifah kelihatan begitu gelisah.

Jangan Kau Tangisi: EDISI ZAHAMIZAL


“HAIFA HEZZY!!!” Sebaris nama dilaung kuat menyebabkan ketiga-tiga gadis itu berpandangan sesama sendiri. Kemudian pandangan mereka beralih pula kepada empunya diri yang melaung nama kepada empunya badan. Kelihatan Zahamizal berlari-lari mendapatkan mereka dengan sejambak bunga teddy bear yang diselang seli dengan bunga gardenia hidup yang berada di dalam tangannya. Haifa Hezzy yang melihat mendengus geram.


‘Hesy, dah gila ke mamat ni menjerit-jerit nama aku di tengah-tengah jalan? Ingat ini filem hindustan ke apa? Tak habis-habis dengan perangai sewelnya. Hari tu suit-suit dalam dewan kuliah, ni terjerit-jerit pula di tengah jalan. Zahamizal ni selalu memalukan aku.’ Haifa Hezzy menggerutu hebat di dalam hati. Pandangan Haifa Hezzy dialihkan pula kepada kedua orang sahabatnya yang kaku dengan sandiwara yang dimainkan oleh Zahamizal. Pandangan mereka juga bertaut dengan Haifa Hezzy ketika gadis itu mengadap mereka. Wajah Haifa Hezzy mencuka. Tiada lagi terpalit senyuman yang manis. Gerun juga mereka melihat wajah yang ditonjolkan ketika ini.

“Dia ingat ni drama hindustan ke terjerit-jerit nama aku di tengah jalan? Tangkap muat aje dengan idea yang terlintas difikirannya. Tahu tak idea dia tu boleh memalukan aku? Tengok, semua orang pandang pada kita. Satu lagi, tak habis-habis dengan bunga gardenia dia tu. Suka sangat!” Marah Haifa Hezzy dengan gelagat Zahamizal. Fezra dan Yuzawati menyedekahkan senyuman mereka yang tidak menjadi.

“Kau tak tahu ke apa maksud bunga gardenia tu? Kalau tak ada maksud yang tersendiri, dia tak akan beri bunga tu pada kau. Cara tu aje yang boleh dia beritahu kau apa yang tersirat di hatinya.” Jelas Yuzawati agak ragu-ragu. Haifa Hezzy kembali menghantar pandangan kepada Yuzawati.

“Mana kau tahu? Apa maksudnya? Apa makna yang tersirat disebalik pemberian bunga gardenia tu?” Soal Haifa Hezzy bertubi-tubi.

“Maksud bunga tu adalah unspoken love. Aku tahu maksud bunga tu kerana emak saudara aku ada butik bunga. Aku banyak belajar daripadanya tentang maksud disebalik bunga pemberian seseorang.” Yuzawati cuba bertentangan mata dengan Haifa Hezzy yang sudah pun terlopong mulutnya setelah mengetahui maksud disebalik bunga pemberian Zahamizal. Terkedu Haifa Hezzy seketika sebelum serangan kata dilancarkan semula.


“Ni idea kau ke Fezra?” Haifa Hezzy menyoal semula tidak puas hati.

“Hesy, aku tak pernah bagi sebarang idea. Yuza kot?” Fezra menjeling ke arah Yuzawati kerana kebanyakkan idea selalu datangnya daripada gadis itu. Yuzawati agak terbuntang matanya mendengar tuduhan Fezra.

“Taklah. Yang tu bukan idea aku. Aku tak pernah bagi idea gila macam tu. Ni idea dia sendiri. Tak kanlah aku nak bagi idea yang boleh memalukan kau, Effa. Jangan nak libatkan aku pula ye.” Yuzawati mempertahankan diri daripada pertuduhan Fezra.

Wednesday, October 22, 2008

III - MAHAKARYA CINTA : HAMPEHHH

PERLUKAH AKU DIJADIKAN BAHAN UJIKAJI? HAMPEHHH ...

Cartoons Myspace Comments
MyNiceSpace.com
“Kurang ajar betul! Ini mesti kerja si jembalang air tu. Produk pencerahan dia berikan pada aku. Tahulah projek ni yang sedang kumpulan dia jalankan tapi janganlah sampai menghina aku macam ni. Apa yang dia buat, pasti Zuraizee tak tahu. Kalau abang tahu dia tak mungkin benarkan produk pencerahan ini sampai ke meja aku. Memang sengaja mencari nahas si jembalang air. Aku pergi menenangkan fikiran semata-mata nak lupakan peperangan yang telah tercetus tapi nampaknya dia tidak mahu berundur, malahan hendak meneruskan sehingga ke liang lahad. Kalau begitu kehendak kau, jembalang air, aku juga takkan berundur dari medan peperangan yang kau sendiri lancarkan. Siap kau, jembalang air, aku datang ni.” Zanzilawati Izzrunnie menjerit kecil. Hatinya meluap-luap panas, bagai hendak pecah.

Lalu Zanzilawati Izzrunnie mengambil hamper produk pencerahan itu dan terus mengatur langkah ke ruang pejabat semula, untuk berhadapan dengan Wizana. Dia menghempas kasar produk pencerahan di atas meja Wizana. Tajam biji matanya memandang Wizana yang sedang menayangkan senyuman sinis. Hatinya bertambah menggelegak dengan api kemarahan apabila Wizana semakin lebar menayangkan sengihannya yang berupakan sindiran yang cukup sinis.

“Aku tak perlukan produk pencerahan ni. Ambil balik hamper yang kau bagi kat aku. Kenapa kau ni... tak sudah-sudah nak cari pasal dengan aku? Kau ingat aku teruja sangat dengan hadiah kau ni? Sikit pun tak. Jangan berangan aku nak berterima kasih dengan pemberian kau ni.” Lantang suara Zanzilawati Izzrunnie melepaskan kemarahan yang membeku di dalam jiwanya sedari tadi.

Wizana bingkas mengeluarkan ketawa kecil sebelum mengeluarkan suara.

Begitu jengkel sekali ketawa Wizana, bukan sahaja di halwa telinga Zanzilawati Izzrunnie tetapi juga kepada seisi pejabat kecuali Syafa yang sememangnya menyokong Wizana sejak dari mula lagi.

“Kau... tak perlukan produk pencerahan ni? I don’t think so. Bagi aku kau lebih memerlukan produk pencerahan ini daripada kami semua. Maklumlah, kulit kau memang berbeza sekali daripada kami semua. Produk ni bukan untuk menyindir kau tetapi untuk menghilangkan segala kekaratan yang ada pada wajah dan tubuh kau. Pemulangan produk ini semula kepada kami bermakna kau telah menghina aku dan juga kehendak syarikat yang ingin menguji sejauh mana keberkesanannya, juga pengusaha yang mengirimnya untuk kita semua. Cuba bayangkan kalau produk ni boleh mencerahkan kulit kau yang berkarat tu, pasti kau akan menjadi lebih terkenal dan syarikat kita juga akan menempa kejayaan yang luar biasa. Bayangkan seketika. Tidakkah itu bagus? Come on, Zila... Lakukan untuk syarikat.”

Wizana mengenakan Zanzilawati Izzrunnie dengan gaya yang cukup selamba sehingga meremukkan hati gadis itu. Manakala yang lain-lain hanya menzipkan mulut agar mereka dapat menyaksikan melodrama yang sedang tertayang di hadapan mata mereka.

Amboi... manisnya mulut berbicara. Apa kau ingat aku ni dungu yang tak tahu menilai yang mana satu kehendak syarikat dan kehendak kau? Blahlah, jembalang air. Kau juga tak akan terlepas daripada cengkaman aku, gumam Zanzilawati Izzrunnie penuh kegeraman. “Ooo... kau nak naikkan nama syarikat dengan menggunakan aku sebagai uji kajinyalah...”

“Takkan tak boleh?” Wizana mencelah sebelum Zanzilawati Izzrunnie meneruskan kata-katanya.

“Bukan tak boleh, memang tak salah kalau syarikat nak jadikan aku bahan uji kaji tapi aku memang tak boleh menerima tawaran kau tu, Cik Wizana.”

“Kenapa? Kau nak menghina syarikat ke? Atau kau nak menghina pengusahanya?” Semakin pedas sindiran Wizana.

Zanzilawati Izzrunnie menguntum senyuman sinis, sama seperti Wizana. “Kalau aku menerima tawaran ini bermakna aku menghina ciptaan Allah S.W.T. yang telah menjadikan aku sebegini. Aku tidak mahu dilaknati Allah semata-mata menukar pembentukannya kepada diri aku. Aku yakin, syarikat mahupun pengusahanya akan menghormati keputusan aku dengan tidak menerima usulan ini. Aku juga bertambah yakin bahawa syarikat mahupun pengusahanya tidak akan mahu menanggung dosa dengan menghina ciptaan Allah S.W.T..

“Walaupun aku tak secerah kau, tapi kulit aku sentiasa licin dan tidak berpasir serta berkerutu seperti kau. Kecantikan seseorang itu, Cik Wizana, terletak pada hati dan jiwa, bukannya terletak pada wajah semata-mata. Apa guna berwajah cantik kalau hati sebusuk bangkai? Biar berwajah buruk asalkan hati sebersih kapas. Ingat tu. Jangan sesekali kau menghina ciptaan Allah S.W.T. jika kau tidak mahu dilaknati-Nya. Dalea, Agil, bersiap sedia untuk ke bilik mesyuarat. Sepuluh minit lagi kita adakan perbincangan.”

II - MAHAKARYA CINTA : Lukisan Yan Amat Bermakna


Muammar singgah di bilik pejabat Zanzilawati Izzrunnie untuk melihat potret lukisan diri gadis itu dengan lebih dekat lagi kerana dia juga amat terpegun melihat keindahan yang dicitrakan di atas kanvas itu. Tidak pernah lagi mana-mana pekerjanya di Sunlight Advertising menerima sebuah lukisan yang begitu unik, sebagaimana Zanzilawati Izzrunnie. Begitu asyik dia melihat lukisan potret itu sehingga tidak sedar Zanzilawati Izzrunnie sudah pun pulang dari tandas.



Zanzilawati Izzrunnie sedikit terkejut melihat Muammar berada di dalam biliknya, namun dia tidak menjerit sebagaimana lazimnya kerana dia juga begitu asyik melihat Muammar merenungi potretnya. Tiba-tiba bibirnya menguntum senyuman yang begitu bermakna. Hatinya bagaikan digeletek hendak ketawa kerana sudah terbetik di mindanya untuk mengenakan pengarah muda itu. Dia menghampiri Muammar dengan gerak langkah yang amat perlahan lalu...
“Penceroboh! Penceroboh!”

Ya Rabbi... gema suara dari gunung Zanzilawati Izzrunnie mengejutkan Muammar daripada terus menatap potret wajah itu. Bagaikan hendak luruh jantungnya mendengar jeritan halus itu di gegendang telinganya. Bulat mata Muammar melihat Zanzilawati Izzrunnie yang sedang mengetawakannya. Ketawa Zanzilawati Izzrunnie menjadi semakin besar apabila melihat Muammar meletakkan tangannya di pinggang. Dia menekan-nekan perut dengan gaya marah Muammar.


“Awak ni kan... terkejut saya tau. Kalaulah saya ada lemah jantung, dah lama gelaran allahyarham saya sandang. Suara awak... ya Allah, lebih teruk daripada suara rimau di belantara. Tak boleh ke tegur lembut-lembut? Kan sedap sikit saya dengar. Ada ke muka saya yang tampan macam ni dikatakan penceroboh? Tak ada tokoh langsung, tau tak? Hee... geram saya tau!” Muammar meluahkan apa yang terkandung di dalam hatinya sebaik sahaja mendengar suara emas Zanzilawati Izzrunnie.

Sekali lagi Zanzilawati Izzrunnie menghamburkan ketawa dengan bersungguh-sungguh. Bukannya tahu takut dengan kemarahan yang terpancar daripada wajah Muammar. Seketika kemudian, Muammar juga turut ketawa bersama-sama dengan Zanzilawati Izzrunnie kerana wajah gadis itu amat lucu dengan ketawa besar yang jarang dilihat. Sesudah ketawa kedua-dua mereka reda, barulah Zanzilawati Izzrunnie mengatur bicaranya semula.


“Maaflah... saya tak pernah usik Encik Muammar. Sesekali nak juga tengok bagaimana wajah pengarah muda di Sunlight Advertising terkejut. Hmm... begitu rupanya. Tampan tapi lucu. Keh, keh, keh...” Sisa ketawa Zanzilawati Izzrunnie masih melekat di bibirnya.

Muammar juga turut tersengih dengan gelagat happy go lucky gadis itu. Memang benarlah gelaran yang diberi oleh staf-staf di situ. Zanzilawati Izzrunnie memang seorang pencetus keceriaan syarikat itu.

“Seronok dapat kenakan saya?” Jegil Muammar, tidak menjadi.

“Bolehlah tahan. Apa yang Encik Muammar renungkan pada potret saya tu?” Zanzilawati Izzrunnie mula mencungkil rahsia.

“Selama saya berada di sini, tak pernah seorang pun daripada staf saya menerima kejutan seperti awak. Dan, lukisan ini begitu unik sekali. Nampak hidup. Cantik. Gantungkan di pejabat ni saja ya? Saya suka melihatnya,” pinta Muammar bersungguh-sungguh.

“Lukisan saja cantik? Orang yang sebenar tak cantik ke?” Zanzilawati Izzrunnie menduga.

“Cantik... tapi sayang tak dapat dimiliki.” Jelingan Muammar penuh bermakna.

“Dah tak cuba, mana tahu tak dapat dimiliki? Kita ni dah lama menunggu isyarat dia tapi dia sengaja buat-buat tak faham. Dah adat manusia, kalau tak ada persaingan memang tak nampak kewujudan dia di depan mata tapi kalau persaingan itu sudah wujud di arenanya, barulah nampak sesuatu yang tidak pernah dihiraukan. Maklumlah... hanya potret aje yang menarik sedangkan wajah yang sebenar langsung tak dapat menarik hati sesiapa jua.” Zanzilawati Izzrunnie juga tidak mahu mengalah di medan bicara.

Terkedu Muammar seketika dengan kata-kata selamba dari dua ulas bibir Zanzilawati Izzrunnie. Tiba-tiba sahaja dada Muammar dipanah debaran rasa yang maha kencang. Dia tidak menyangka itu jawapan yang diperolehinya daripada gadis yang begitu mesra sekali dengan Zuraizee. Muammar menghala lensa matanya tepat ke bebola mata Zanzilawati Izzrunnie dan Zanzilawati Izzrunnie dengan berani membalas renungan Muammar tanpa rasa malu.

“Benarkah seperti apa yang awak katakan itu?” Muammar ingin penjelasan dan kali ini Zanzilawati Izzrunnie menayangkan wajah yang terlalu selamba.

“Kata apa? Saya ada kata apa-apa ke?” Zanzilawati Izzrunnie masih merenungi Muammar dengan gaya yang penuh menggoda bersama senyuman manis yang jarang ditonjolkannya.

Muammar terkeliru sendiri dengan sikap gadis itu. “Saya dengar tadi, awak balas bicara saya. Takkan saya dalam dunia khayalan?” Muammar menggaru-garu kepalanya yang sedikit gatal kerana disimbahi peluh dingin.

I - Mahakarya Cinta : GERAMNYAAA!!!ARHGGGHHH!!!


GERAM YANG MEMBARA SEMAKIN MENYEMARAK. SIAPA SURUH KAU SAKITKAN HATIKU – ZANZILAWATI IZZRUNNIE.



Zuraizee cuba mencekak lengan Zanzilawati Izzrunnie semula tetapi sempat dielakkan oleh Zanzilawati Izzrunnie yang kini berlari secara mendadak ketika lif sedang ternganga mulutnya. Zuraizee terperanjat dan tidak terkejar olehnya langkah Zanzilawati Izzrunnie yang sudah jauh ke hadapan. Dia melaung kepada Zanzilawati Izzrunnie agar menunggu dirinya tetapi laungannya tidak dihiraukan oleh gadis itu.

Zanzilawati Izzrunnie hanya menayang wajah selamba yang dingin ketika pintu lif tertutup.

Zuraizee pantas menuruni tangga dengan harapan dia tidak akan terlepas jejak Zanzilawati Izzrunnie.

Zanzilawati Izzrunnie kembali mengatur jalannya dengan cermat menuju ke tempat kenderaan awam yang terdapat di hadapan tempat kerjanya sebaik sahaja mulut lif memuntahkan orang-orang yang berada di dalamnya. Pada hari itu, dia tidak mahu pulang dengan Zuraizee. Hatinya masih sakit dengan tingkah jejaka itu. Biarlah dia ubati hatinya terlebih dahulu sebelum kembali baik dengan Zuraizee.


“Adik.... tunggu!!” Zuraizee melepaskan mengahnya seketika sebelum mengejar Zanzilawati Izzrunnie semula.

Zanzilawati Izzrunnie yang mendengar suara dari gunung itu terus membuka langkah seribu kerana dia tidak mahu ditangkap oleh Zuraizee semula. Dia tidak menoleh ke belakang lagi. Yang penting dirinya selamat daripada cengkaman jejaka itu.

Zuraizee yang melihat Zanzilawati Izzrunnie kembali berlari juga membuka langkah seribu mengejar gadis itu dari belakang walaupun kepenatan menuruni tangga tadi masih melekat di seluruh tubuhnya.

Dalam keadaan kelam-kabut, Zanzilawati Izzrunnie pakat main redah sahaja menaiki bas yang berhenti di hadapannya, walaupun dia tahu bas itu tidak menuju ke arah rumahnya. Hatinya berasa lega apabila bas itu sudah pun berjalan ketika Zuraizee tiba di situ.

Zuraizee melepaskan geram kerana tidak dapat mengejar Zanzilawati Izzrunnie yang sudah dibawa pergi oleh bas awam itu. “Tak guna! Bas apa pulak yang dia naik tu? Isy, budak ni... buat perangai yang tak senonoh.”

Zuraizee kembali berlari mendapatkan keretanya untuk mengejar Zanzilawati Izzrunnie. Untuk beberapa saat, dia berjaya menjejaki kelibat Zanzilawati Izzrunnie.

Zanzilawati Izzrunie sedikit kepucatan apabila melihat kereta Zuraizee mengejarnya dari, belakang.

“Isy, kenapa bapak budak ni berjaya menjejaki aku? Sia-sia saja aku penat berlari. Ya Allah... minta-mintalah dia terlepas jejak bas ni. Aku tak nak jumpa dia. Cikadak tua ni memang tak pernah putus asa.” Zanzilawati Izzrunnie merungut seketika ketika dia melihat lambaian tangan Zuraizee mengisyaratkannya agar turun ke stesen seterusnya. Namun, dia berasa bersyukur bila akhirnya Zuraizee terlepas kerana dihalangi oleh lampu isyarat yang berwarna merah. Dia memegang dada tanda lega.

Manakala Zuraizee pula menghempas keluhan kasar kerana masih tidak berjaya mendapatkan Zanzilawati Izzrunnie semula.

“Tak guna! Terlepas lagi! Isy, lampu isyarat ni... masa aku tengah kejarlah kau bertukar merah. Kelapa santan.” Zuraizee memarahi lampu isyarat yang telah melenyapkan kelibat Zanzilawati Izzrunnie.