Wednesday, February 20, 2008

NOVEL TERLARIS 2007: III - HANYA DIKAU : Perbezaan Usia, Adakah Ia Menjadi Penghalang?


Perbezaan usia di antara kita tidak mampu menghalang diriku daripada terus mencintai dirimu … Tidak layakkah aku memiliki sekeping hatimu … IRA FASHUA! Walaupun diri ini lebih muda daripada dirimu. Berikan aku peluang, akan aku buktikan bahawa akulah yang terbaik dan terlayak untuk bertahta di hatimu …





“Helo, Ira sini. Siapa tu?” Ira Fashua tetap tidak lupa dengan bunga-bunga bahasanya apabila menjawab telefon.

“Fashua ... saya nak awak jangan menerima pinangan tu. Tolonglah. Saya merayu pada awak agar jangan menerima pinangan tu. Ye?” Ira Fashua mengerut dahi kehairanan dengan permintaan Erze Zullis itu.

‘Kenapa dengan Mr. Bean ni? Dah gila agaknya suka-suka hati suruh aku menolak pinangan tu sedangkan aku sudah pun menerimanya. Nak kena hamput dengan mama aku? Minta maaflah mamat tongkol, aku tak kan lakukan apa yang kau suruh kerana kau bukan pengarah di dalam hidup aku.’ Ira Fashua berdiskusi di dalam hati sebelum mengeluarkan kata-katanya.

“Awak dah gila ke ... nak suruh saya tolak pinangan tu sedangkan saya telah pun menerimanya. Awak nak mama saya hamput saya ke? Kenapa dengan awak ni, tiba-tiba bertukar watak? Awak jangan nak mengarah-arah saya kerana saya tak kan dengar cakap awak kali ni. Saya yang akan berkahwin jadi saya mempunyai hak untuk menentukan dengan siapa saya akan membina mahligai bahagia itu. Awak tak ada hak untuk masuk campur dalam urusan hidup saya. Faham?” Sedas peluru tembakan berpandu Ira Fashua berikan kepada Erze Zullis. Termangu-mangu Erze Zullis menerima jawapan itu, namun dia tidak berputus asa untuk memujuk hati degil Ira Fashua.

“Fashua tolonglah beri saya satu peluang untuk bertahta di hati awak. Saya janji akan membahagiakan awak hingga ke akhir hayat saya. Tolong jangan menerima pinangan itu kerana saya. Saya sudi menjadi suami awak dan membina mahligai bahagia yang awak sering impikan tu. Tolonglah Fashua ... jangan hampakan harapan hati saya.” Erze Zullis merayu dengan nada yang lebih romantis lagi sehinggakan membuat Ira Fashua terkedu seketika.

‘Biar betul? Pengarah aku ke tu? Hish ... tak mungkinlah!’ Ira Fashua menolak apa yang telah didengarnya lagi.

“Awak ni betul-betul dah hilang akal kot? Awak dengar baik-baik ... saya dah menerima pinangan itu dan saya tak kan berganjak dengan keputusan yang telah saya buat. Saya tetap akan berkahwin dengan orang yang telah meminang saya walaupun dia tidak menepati ciri-ciri lelaki idaman kalbu saya. Lagipun, saya tidak pernah menyukai awak, Erze Zullis. Sekelumit perasaan pun tidak pernah bertandang di hati saya untuk awak. Jadi, buat apa saya menolak pinangan tu kerana awak? Lainlah kalau saya menolak pinangan tu kerana Da Feng sebab saya sememangnya sudah jatuh hati dengan Da Feng. Namun, saya rasa ... jodoh saya telah ditetapkan dengan orang lain dan bukannya dengan Da Feng. Saya redha dalam menerima jodoh ini. Jadi, awak tak perlulah nak berangan-angan untuk melihat saya menolak pinangan itu kerana tiada apa yang akan berubah? Adakah penerangan itu jelas pada awak?” Ira Fashua telah menetap bisikan hatinya agar tidak tergoyah setelah pinangan yang datang diterimanya. Erze Zullis mendengus kasar di hujung talian.

“Awak ni memang degil! Awak dengar sini baik-baik Fashua ... saya berjanji dengan menjunjung Al-Quran bahawa satu hari nanti awak pasti akan menjadi milik saya. Hanya milik saya seorang! Faham? Orang lain tak kan boleh memiliki awak jika saya tak boleh memiliki awak!” Erze Zullis menghempas gagang telefon dengan satu perasaan geram yang melanda hatinya. Hati batu Ira Fashua memang sukar untuk dilembutkan. Ira Fashua sedikit bengang gegendang telinganya setelah gagang telefon dihempas oleh Erze Zullis.

“Dah gila agaknya budak kecik ni! Suka-suka hati dia saja nak aku ikut cakap dia. Dia ingat ... dia tu pengarah aku disepanjang hayat hidup aku ke? Tak padan dengan umur muda nak mengajar aku! Memang biul! Sewel! Mamat tongkol! Mr. Bean! Huh!” Ira Fashua juga menuruti jejak Erze Zullis dengan menghempas gagang telefon kepunyaannya di bilik pejabat itu untuk melepaskan kebengangan yang bersarang di hatinya.





Ahhh … Aku Tidak Tahu Bagaimana Lagi Untuk Menawan Sekeping Hatimu Yang Terlalu Keras Bak Batu Kerikil. Walau Apa Pun Terjadi Di Antara Kita, 1 Sahaja Ingin Aku Khabarkan Padamu Bahawa HANYA DIKAU Yang Sentiasa Bertahta Di Hatiku Dan Hanya Lelaki Ini Yang Selalu Mencintai Dirimu … Rintihan Hati Yang Lara : Erze Zullis



No comments: