Wednesday, February 20, 2008

I - HATI INI MILIK SIAPA : Tidak Ku Harapkan Mawar Dari Mu ...


KEHADIRAN BUNGA YANG CUKUP MENJELIKKAN


Nampaknya Hezriq benar-benar telah mengotakan apa yang dikatakan. Dia ingin mengganggu dan tidak akan lepaskan diriku, malah dia tahu di mana aku bekerja kerana saban hari selepas pertemuan itu, bilik pejabatku dihujani dengan pelbagai jenis jambangan bunga. Ingin dikatakan Danish yang beritahu, tidak mungkin kerana Danish sudah tentu tidak mahu aku rapat dengan Hezriq kerana dia sendiri mempunyai agenda yang tersendiri terhadap diriku. Bilik pejabat aku kini sudah tidak nampak seperti bilik untuk bekerja, tetapi lebih merupakan seperti kedai bunga. Habis melimpah-ruah setiap ruang legar bilik aku dipenuhi dengan bunga. Besar dan tinggi pulak tu. Sudahlah tu, dalam satu hari sahaja sebanyak tiga kali dia menghantar bunga tersebut.

Baru mencecah tiga minggu, bilikku sudah dipenuhi dengan bunga-bunga yang dihantar. Kalaulah mencecah sebulan, diri aku sudah pasti tenggelam dek bunga-bunga ini. Nampaknya Hezriq terpaksa aku hubungi walaupun hati aku tidak ingin untuk berbuat demikian. Kalau tidak, akan bertambah melampau lagi perbuatannya terhadap diri ini. Di mana aku mendapat nombor telefonnya, usahlah ditanya sebab pada setiap kiriman bunga akan tertera nama dan nombor telefonnya sekali. Cuma aku sahaja yang tidak pernah menghubunginya walaupun sekadar untuk mengucapkan terima kasih. Buat apa diganggu hak milik orang?

Cinta tidak lagi membisikkan perkhabarannya di taman hatiku, jadi buat apa hendak merunsingkan fikiran dengan mengharap memori cinta yang akan mengundang kelukaan, lebih baik aku abaikan sahaja. Tetapi Si Hezriq ini tidak boleh aku abaikan dirinya begitu sahaja kerana semakin dibiarkan semakin menjadi-jadi perangai gilanya. Semakin tua semakin teruk dan aku sendiri tidak tahu bagaimana boleh terjatuh cinta kepada lelaki sepertinya.

Memang benarlah kata orang, cinta itu buta dan aku yang sebenarnya buta dalam menilai keperibadian dirinya. Bodoh betul aku membiarkan diri terperangkap dalam cinta dustanya yang tidak pernah menjadi milikku. Hendak menyesal pun sudah tidak berguna kerana aku sendiri yang mengundang perasaan itu. Menyesal sungguh aku kerana terlalu mendesak perasaan itu sentiasa hadir dalam diri ini pada waktu itu.





PENANGAN DARI HATI YANG TERLUKA ...



“Hezriq! Kau ni melampau betullah hantar bunga kat aku macam tu. Kau ingat aku suka ke? Memalukan aku betul!! Kat pejabat aku ni dah tak nampak macam pejabat lagi, tapi nampak macam butik bunga, tau tak!” Suara aku meninggi dan di hujung talian sebelah sana kedengaran suara Hezriq sedang ketawa. Betul-betul menyakitkan hatiku.

“Kan aku dah cakap, aku takkan lepaskan kau lagi, Mira. Aku akan tawan hati kau sehingga kau menjadi milik aku yang sempurna.”

“Bermimpilah kau pada siang hari sebab aku takkan tertawan dengan kau walau apa cara yang kau lakukan sekali pun. Masa untuk kau pikat aku dah tamat tempohnya, Hezriq Iskandar!” Aku geram dengan kata-katanya yang tidak makan disaman. Hezriq ketawa lagi.

“Itu untuk kau tempohnya sudah tamat, tapi bagi aku segala-galanya baru bermula.”

“Hezriq! Aku beri kau amaran. Sekali lagi kau hantar bunga kat aku banyak-banyak macam ni, aku bersumpah akan pulangkan balik semua bunga ni di rumah kau. Biar orang kata di rumah kau ada kematian.” Aku semakin tegas dengan pendirianku. Aku tahu Hezriq tersentak dengan kata-kata ku itu. Biarkan! Padan muka! Siapa suruh buat benda yang aku tidak suka?

“Wah, Mira! Celuparnya mulut kau! Janganlah Mira buat macam tu. Aku tak nak Thalia kecil hati. Dia tak tahu aku hantar bunga kepada kau.” Hezriq separuh merayu.


‘Hmm ... berkesan juga idea spontan aku.’ Aku tersenyum sendirian.

“Mulut aku akan sentiasa celupar jika dengan kau. Aku tak peduli apa Thalia akan rasa. Biar dia tahu yang lakinya ni gatai merenyam. Sekali lagi ada jambangan bunga yang berkunjung ke pejabat aku ... tahulah akan untungnya nasib kau! Hezriq, buat apa lah kau membazirkan duit beli bunga macam ni kat aku, lebih baik kau berikan saja bunga-bunga ni kepada bini kau!” Medan pertengkaran kata semakin hebat tercetus antara aku dan Hezriq.

“Kau juga bakal bini aku. Jadi, tak salah kan jika aku berikan bunga-bunga ni kepada kau?” Nakal sekali usikan Hezriq, membuat hati aku semakin terbakar.

“Hei, beruk! Kau jangan sesekali mencipta angan-angan tinggi untuk jadikan aku bini kau. Angan-angan kau tak akan kesampaian sebagaimana jambatan angan-angan aku yang telah kau robohkan.” Telinga aku semakin panas mendengar cita-citanya yang sungguh tinggi mencapai awan.

No comments: