Wednesday, February 20, 2008

NOVEL TERLARIS 2007: II - HANYA DIKAU : Menyusahkan Aku Saja Budak Kecik Ni ...


Kenapa diri ini selalu disusahkan olehmu? Kekadang menerbitkan rasa benci yang menebal di hatiku ini hanya kerana kau sering menyusahkan aku!




“Helo.” Mata Ira Fashua masih lagi terpejam ketika menjawab panggilan telefon itu.

“Helo tuan puteri! Masih tidur lagi? Awak tahu tak sekarang ni sudah pukul berapa? Bila nak sampai ke pejabat? Encik Adzam dari Rubber Max dalam perjalanan ke sini, tahu tak ... untuk satu urusan jual beli yang telah awak sendiri persetujui. Pandai-pandai awak mengatur mesyuarat dengan mereka ... tak kan awak tak nak menghadirinya? Pengurus jenis apa awak ni, hah? Bangun cepat, awak dah tak ada masa nak bersantai-santai lagi sebab mesyuarat tu akan berlangsung pada pukul sepuluh pagi nanti. Kalau awak tak ada, sia-sia sahaja mereka datang. Faham?” Daripada mata yang masih mengantuk, kini mata Ira Fashua terbuka luas apabila mendengar suara gergasi yang menerjah ke lubang telinganya.

‘Apa hal mensyuarat akan berlangsung pada pukul sepuluh pagi hari ni pula ... Bukankah aku dah tetapkan pada hari Isnin pukul sepuluh pagi. Budak kecik ni saja nak mengganggu tidur aku. Cuti-cuti nak tidur lama sikit pun tak boleh.’ Ira Fashua menyedekahkan rungutan pertamanya buat Erze Zullis.

“Awak ni ... kenapa nak sindir-sindir orang ni? Saya dah tetapkan mesyuarat tu dengan Encik Adzam pada hari Isnin. Takkanlah mesyuarat yang akan berlangsung pada hari Isnin, Encik Adzam nak datang hari ni pula? Tak masuk akal betullah. Awak jangan nak main-mainkan saya.” Ira Fashua memarahi Erze Zullis yang telah mengganggu lenanya yang diulit intan.

“Siapa yang nak main-main ni? Awak tak tahu ke ...mesyuarat tu dah ditukar ke hari ni. Awak tak ada pilihan, Fashua ... awak kena datang hari ni juga. Hari Isnin tak ada sebarang mesyuarat untuk awak.” Jelas Erze Zullis dengan nada suara yang serius. Sekali lagi mata Ira Fashua terbuntang mendengarnya.

“Hah? Mesyuarat hari Isnin telah ditukarkan hari ni? Siapa yang tukar? Saya tak tukar pun? Encik Adzam sendiri yang setuju mesyuarat tu akan diadakan pada hari Isnin.” Ira Fashua masih lagi ingin bertegang urat dengan Erze Zullis.

“Saya yang tukarkannya kerana hari Isnin kita ada kerja lain yang lebih penting yang hendak dibuat. Maaf kerana memberitahu awak pada saat-saat yang terakhir? Saya tak peduli apa jua alasan awak ... awak kena sampai ke pejabat ini dalam masa setengah jam. Jangan biar tetamu kita menunggu kedatangan awak. Saya tak suka! Awak kena jaga prestasi syarikat kita juga.” Arah Erze Zullis lagi dengan nada yang semakin tegas. Ira Fashua terkumat-kamit mulutnya tanpa suara menahan rasa geram. Apabila tidak mendengar sebarang bicara balas daripada Ira Fashua, sekali lagi Erze Zullis menerjah suara kasarnya sehingga tertusuk terus ke dalam gegendang telinga Ira Fashua.

“Awak dengar tak? Jangan nak berkhayal lagi! Pergi siap cepat! Setengah jam saja, ingat?” Erze Zullis memberi amaran pula.

“Hei ... awak ingat rumah saya ni dekat ke nak sampai ke sana dalam masa setengah jam? Saya akan sampai ke sana dalam masa satu setengah jam. Saya tak peduli jika mereka terpaksa menunggu saya. Siapa suruh tukar waktu mesyuarat tak bagi tahu saya terlebih dahulu? Saja nak menyusahkan orang. Huh!” Ira Fashua menghempas kuat gagang telefon sehingga mampu membengangkan telinga Erze Zullis di sebelah sana. Walaupun telinganya bengang dengan hempasan telefon itu, namun Erze Zullis masih mampu menyimpul senyuman kerana dia telah berjaya mendera Ira Fashua sekali lagi.

No comments: