Saturday, February 23, 2008

NOVEL TERLARIS 2007 IV: HANYA DIKAU : Cinta Datang Lagi ...


Bertemu dengan mu, bagaikan mendapat sebutir permata yang berharga. Adakah cinta itu bertandang lagi di hati ini. Mampukah aku mengharungi cinta itu semula dengan melupakan peristiwa lama yang masih kukuh mencengkam sanubari? Ahh … aku buntu untuk menilainya!


“Ira ... sebelum saya pergi ke Korea, saya ingin menyarungkan cincin berlian emas putih ini sebagai tanda untuk awak mengingati saya sepanjang ketiadaan saya. Saya harap, awak tidak akan menanggalkannya. Izinkan saya menyarungkannya sekarang.” Xu Da Feng terus menyarungkan cincin itu ke jari manis Ira Fashua di sebelah kiri dengan penuh perasaan romantis.

Sekali lagi Ira Fashua menarik nafas panjang dan lega kerana fikiran negatif yang datang bertandang tadi tidak seperti difikirkan. Alhamdulillah. Bibir Ira Fashua mengukir perlahan-lahan mengukir senyuman terharu kerana inilah kali pertama dia dihargai seumpama itu selepas dia dikecewakan dengan teruk suatu ketika dahulu. Bergenang air mata Ira Fashua ketika melihat cincin itu tersarung di jari manisnya. Melihat pada keadaan Ira Fashua, perlahan-lahan Xu Da Feng mengangkat wajah wanita yang semakin mendapat tempat di hatinya itu.

“Ira ... kenapa awak menangis? Saya pergi tidak lama Ira. Awak janji ye ... akan tunggu kepulangan saya.” Xu Da Feng menyapu air mata yang mula tumpah ke dataran pipi Ira Fashua.

“Sebenarnya saya terharu kerana selama ini tidak ada seorang pun yang menghargai saya seumpama ini. Terima kasih Da Feng kerana memberi impian yang indah untuk saya mengenanginya. Insyaallah ... jika saya telah dijanjikan berjodohan dengan awak, pasti kita akan bersatu kelak” Ira Fashua juga mengkalungkan harapan kepada Xu Da Feng kerana tiba-tiba sahaja keyakinan bertandang di hati Ira Fashua bahawa inilah jodohnya yang selama ini dinantikannya.

Ketika sandiwara itu sedang berlangsung dengan penuh dramatis, ketika itulah Erze Zullis memasuki bilik Ira Fashua tanpa mengetuk pintu biliknya terlebih dahulu. Terperanjat Ira Fashua dan Xu Da Feng ketika menerima kunjungan daripada Erze Zullis secara tiba-tiba. Pantas Ira Fashua mengesat air matanya yang telah tumpah kerana malu jika dilihat oleh Erze Zullis dan dia tidak mahu menjadi mangsa ejekan pemuda itu lagi.

“Hai Da Feng ... bila awak datang? Kenapa tak jumpa saya dulu? Ada apa-apa perkara yang mustahak ke?” Kasar sekali Erze Zullis menegur dan menghampiri kedua-dua mereka di mana tangan Xu Da Feng masih lagi menggenggam jari-jemari kanan Ira Fashua. Hatinya yang cemburu bertambah cemburu melihat kepada tautan tangan uda dan dara itu.

“Saya cuma datang untuk cek keadaan Ira sama ada dia sihat ataupun tidak dan ...” Sebelum sempat Xu Da Feng menghabiskan ayatnya, Erze Zullis menyampuk dengan pantas.

“Oh ... nak cek. Tengok Fashua ... dia dah jadikan awak kertas ujian.” Erze Zullis pantas menarik tangan Ira Fashua sehingga terlepas tautan tangan Xu Da Feng.

“Kertas ujian? Apa maksud dia?” Xu Da Feng mengerut dahi kehairanan. Ira Fashua menjeling geram kepada Erze Zullis yang tidak diundang kunjungannya ke situ.

“Tak ada ... dia cuma bergurau saja tu, Da Feng ... awak jangan ambil serius sangat dengan kata-katanya.” Ira Fashua cuba menutup perasaan geram yang telah pun bertandang di dalam hatinya dengan sebuah ukiran senyuman.


2 comments:

♥Pu3ImaŊeisyÆ♥ said...

Yup.. aku sokong... memang novel HD adalah antara novel yang terlaris.... sebab aku pun payah nak dapatkannya.....

EBRIZA AMINNUDIN said...

hehehe ... Alhamdulillah Iman. Pertama kali novel aku yang TERLARIS.