Wednesday, February 20, 2008

I - DIALAH DI HATI : Corat Coret Valentine's Day!


VALENTINE’S YANG MENCABAR MINDA


7 Februari 2003 (Jumaat)


Huh! Tujuh kuntum semuanya. Makin parah mamat ni. Betul-betul hendak memikat ka atau hendak bermain sandiwara dengan ku? Macam nak kenakan aku saja... Entah-entah dia biarkan aku syok dulu dengan semua bunga yang diberi, kemudian baru dia kecewakan aku. Ataupun dia hendak dugaku setakat mana aku tak suka dengan bunga-bunga ni. Zaman sekarang apa saja boleh terjadi. Susah hendak menilai yang mana betul dan yang mana palsu. Kasar sekali aku membuka kad yang sentiasa terselit antara bunga.


‘Tidak terniat untuk bersandiwara atau untuk melukakan sekeping hati. Bunga diberi tanda keihklasan. Harap sudi menerima walaupun tiada kesukaan di hati.’

Apa ni? Dia tetap tahu apa yang setiap kali aku suarakan. Ini betul-betul menakutkan. Aku betul-betul takut. Dahiku merenik peluh dingin walaupun ada kipas angin di kelas itu.




8 Februari 2003 (Sabtu)

Ah, hari ini sudah tentu aku tidak akan dikunjungi oleh mawar lagi kerana hari ini sepanjang hari aku akan berada di lab komputer. Aku menarik nafas lega kerana tidak akan diganggu oleh mawar berhantu lagi. Mula-mula aku ingatkan Yafiz tetapi lama kelamaan tanggapan aku pada pemuda itu beransur hilang. Tak mungkin Yafiz akan buat kerja gila macam ni sebab kad yang dikirim bersama bunga tanpa nama. Kalau dari Yafiz pasti ada nama pada setiap kirimannya. Dengan senang hati aku melangkah ke tempat komputer yang selalu aku duduk dan gunakan. Tempat ini juga tiada siapa yang berani duduk setelah diberi amaran keras. Pendek kata di mana tempat yang aku suka duduk, tiada siapa yang berani duduk di situ kerana mereka akan tahu apa akan jadi jika kemarahan aku menyerbu ke muka. Hehehe...

Sekali lagi muka aku berubah warna ke pucat. Apa yang tidak pucatnya... Dia tahu ke mana sahaja aku pergi dan dia tahu di mana sahaja aku berada. Pendek kata setiap gerak-geriku memang dalam perhatiannya. Bunga mawar sebanyak lapan kuntum tetap bertandang di tempat yang menjadi kegemaran aku. Wazharatul Fajarriyah mencapai bunga mawar lalu tersenyum memandangku.

“Cinta memang dah mekar ka? Tak pernah-pernah dapat bunga...”
Aku membuat muka tidak senang dengan ucapan itu.

“Apa yang dah mekar? Cinta apa? Taik minyak? Aku sendiri tak tahu siapa yang bagi bunga ni.”

“Eleh, tak tahu konon. Siapa lagi yang suka buat kerja gila kalau tak si Yafiz tu?”

“Kalau Yafiz, tentu ada nama. Ni aku tak tahu hantu mana yang kirim. Ada kad tapi tak bernama.”

“Nah! Tengok dulu. Aku yakin kali ni tentu ada nama.” Wazharatul Fajarriyah menghulur kad yang terdapat pada bunga itu. Aku mengambilnya malas. Memang malas pun hendak baca kerana aku tahu dia tentu akan tahu apa yang aku fikirkan lagi.

‘Jalan yang diterokai akan ku iring bersamamu walau ke mana saja. Jangan cuba-cuba untuk melarikan diri dari insan yang amat mengambil berat tentang dirimu.’

Selesai membaca aku menghulurkan kad itu kepada Wazharatul Fajarriyah.

“Kan aku dah kata tak ada nama pengirimnya. Memang hantulah laki ni. Dahlah. Aku nak buat kerja.” Aku terus menatap komputer tanpa menghiraukan Wazharatul Fajarriyah lagi yang sedang tersengih.



9 Februari 2003 (Ahad)


Seronoknya hari ni cuti... Sudah tentu satu-satunya hari yang akan aku terlepas dari segala penghantaran bunga misteri. Tetapi tidak boleh diberi jaminan juga kerana minggu lepas ia tetap bertandang walaupun di musim cuti. Aku rasa aku hendak bertaruh dengan diri aku sendiri. Kalau hari ni dia hantar melalui pos memang dia seorang lelaki yang pengecut, lagipun mana ada pejabat pos yang buka pada hari Ahad. Tapi bagaimana kalau dia menghantar melalui tangan? Apakah aku akan terimanya? Entahlah aku sendiri tak tahu. Sebab aku tak tahu siapakah gerangannya. Bagaimana kalau dia Yafiz? Mungkin.... Hmmm, mungkin aku akan pertimbangkan tapi perbuatannya pada aku semasa di hospital dulu masih tidak dapat aku maafkan. Sakit di hati masih membengkak tahu tak?!! Dalam mengulit anganan yang tak panjang usianya aku terdengar nama ku dilaung dari bawah. Segera aku ke bawah seperti Superman aku melangkau dua tiga untuk segera mendapatkan ami yang sudah pun separuh menjerit itu. Tercungap-cungap aku seketika.


“Ya ami. Ada apa panggil Rina?” Dalam kecungapan yang amat mendalam aku terpandang kuntuman bunga dalam ikatan balutan kertas yang amat menarik gubahannya. Mata aku terpaku seketika. Penat aku hilang sama sekali.


“Pasai apa hang tercungap-cungap? Mesti terjun dari tangga lagi kan? Perangai jantan tu tak boleh nak berubah. Bila nak ubah ni?”

“Ami panggil Rina ni nak berleter ka atau ada benda yang nak suruh Rina buat?”


“Hah! Terlupa pula ami. Tu lah tengok dengan perangai hang ni semua benda yang ami nak cakap pun dah lupa. Ni hah boyfriend hang bagi.” Ami menghulur bunga dan aku menyambutnya.


“Boyfriend? Mana Rina ada boyfriend? Ami ni jangan nak mengarutlah.”


“Habis tu laki yang bagi bunga ni siapa? Siap minta izin lagi nak berkawan dengan hang. Bukan mudah tau ada lelaki yang minta izin dulu baru nak mula berkawan. Semuanya berkawan dulu baru tunjuk pada mak bapak.”


“Yalah ami, boyfriend apa bendanya... Rina sendiri tak kenal siapa pengirimnya. Sejak lapan hari yang lalu dia mengirim bunga ni dengan misteri. Ami, macam mana rupa dia?”


“Carilah sendiri kalau hang nak tau. Dahlah, ami nak sapu laman rumah ni, kotor sangat. Kalau nak harapkan hang buat kerja ni sampai kiamat pun hang tak kan buat punya. ” Ami terus menyambung kerjanya yang terbengkalai tadi tanpa menghiraukan aku lagi.


“Ami...bagitahulah Rina bagaimana rupa dia? Entah-entah ami ni berkomplot dengan dia tak nak kenakan Rina?” aku merayu menagih sedikit penjelasan.


“Dah lah tu Rina, ami banyak kerja ni tak ada masa nak berkomplot-komplot.”


Aku mendengus lalu melangkah masuk ke dalam sambil tangan pantas membogelkan kad pada bunga yang sebanyak sembilan kuntum itu.


‘Kesetiaan, kejujuran dan keikhlasan akan tetap kepunyaanmu walau di mana diri ini tercampak kerana kau bidadari di hati...’


10 Februari 2003 (Isnin)

Sepuluh kuntum kesemuanya mawar merah yang menjadi pengunjung setia mejaku mahupun di mana jua aku berada. Aku dah muak dengan mainan hidup seumpama ini. Siapakah dia yang sebenarnya? Apakah yang dia mahu dari ku? Nak kata memikat macam tak pikat. Nak kata menyindir macam tak sindir. Nak mata main macam tak bermain. Ahhh!!! Aku buntu memikirkannya. Setiap hari sepanjang bulan Februari aku menerima kuntuman mawar, sampai bilakah ia akan berakhir?


“Bunga mawar? Itu pun untuk Rina Erviana? Hebat...Hebat... Siapakah pujangga cinta yang memuja kau tu agaknya Rina?” Deqda seperti kagum melihat aku menerima mawar macamlah tak pernah tengok perempuan dapat bunga. Menyampah betul aku dengan budak ni tau.

“Kau jangan nak menyindir aku. Aku tahulah, aku tak layak dapat bunga.”


“Siapa cakap? Sepatutnya dari dulu lagi kau layak dapat bunga cuma kau tu saja yang jual mahal. Wow! Sepuluh kuntum semuanya untuk sepuluh haribulan Februari. That’s was so great! Ni kad apa pula?” Deqda mencapai kad itu lalu terus membacanya kuat.

“Jika hati sejernih air, jangan biar ia keruh. Jika hati seputih awan, jangan biar ia mendung. Jika hati seindah bulan, hiasi ia dengan keimanan. Itulah yang dapat dilihat melalui mata... Wow! Begitu dalam dia menilai diri kau melalui matanya. Kalau akulah diberi penghargaan seperti itu... mati dalam imanlah aku.” Deqda semakin teruja dan aku semakin jelek dengan perlakuannya.


“Dahlah jangan mengarut!” Aku merampas kad yang berada di dalam genggaman Deqda dan terus ke meja Sherman Jackson. Aku baru perasan tadi setelah Deqda menyedarkan aku bahawa kuntuman bunga yang dikirim mengikut hari di bulan Februari. Huh! Siapakah jejaka gila ini?

“Sherman, baik kau berterus-terang dengan aku siapa punya angkara gila semua ni? Yafizkah?” Aku sudah tidak tahan lagi dengan dugaan yang menimpa.


“Kenapa kau serang aku pula? Mana aku tahu siapa yang bagi? Mustahil Yafiz hendak bagi kat kau lagi setelah semua kad-kadnya yang mahal kau campak dalam tong sampah. Jangan tuduh sembaranganlah Rina.” Sherman Jackson menempelak aku membuatkan aku terdiam seketika. Betul juga apa yang dikatakan oleh jejaka india Kristian ini. Mustahil dia akan membazirkan duit untuk aku lagi setelah apa yang aku lakukan tetapi dia tidak tahu yang sebenarnya aku simpan semua kad yang diberi. Dengan fikiran bercelaru aku kembali ke tempat duduk aku semula.


11 Februari 2003 (Selasa)


Aku sudah tidak berdaya lagi untuk menyesakkan fikiran aku dengan memikirkan siapakah pengirim gilanya. Sebelas kuntum mengikut hari terdampar lagi mawar merah di atas meja aku. Seperti kerja rutin pula aku harus membaca kad yang terselit di dalam mawar ini. Apa pula ucapan dari kad itu untuk hari ini.


‘Andai kata embun pagi itu suci, suci lagi pengorbanan dan keihklasan. Andai kata permata nilam itu indah, indah lagi ukhwah di antara insan. Jadi, peliharalah hubungan yang telah terjalin antara kita...’

Hah? Bila masa pula hubungan aku terjalin dengan dia? Dan kata-kata dari sms yang telah diforwardkan diukir pula buat aku... Dah ketandusan idea gamaknya mamat ni. Pening...Pening...


No comments: