Wednesday, February 20, 2008

III - DIALAH DI HATI : Hmmm ... Cinderella Celup. Keh keh keh ..

PERSIS CINDERELLA



1


Aku bertambah hairan dengan kata-katanya itu. Belum sempat aku menyarung soalan dengan lebih lanjut, dia lebih pantas melarikan dirinya bersama deruman enjin kereta. Kepala yang penuh persoalan, yang berserabut dengan akar kehairanan dan tersimpul dengan rasa ingin tahu membuatkan aku berpatah balik ke dalam rumah untuk melihat apakah isi kandungan di dalam kotak yang berada di dalam genggaman aku kini. Pantas sahaja tanganku membogelkan balutan indah dihias rapi. Apabila terhambur sahaja kandungan di dalamnya, aku terkesima sebentar. Bulat mata aku memandang pada hadiah yang tidak ku sangka akan dapat memilikinya. Diriku ini umpama mimpi di dalam mimpi walaupun berada di alam yang nyata. Sehelai gaun berwarna kuning keemasan yang direka unik sebiji seperti Cinderella pernah memakainya sewaktu menghadiri majlis tari menari. Rekaan seperti itu tidak ada di mana-mana butik pengantin pun atau di pasaraya-pasaraya kerana aku tidak pernah melihat gaun seindah itu terjual di sana. Aku dapat rasakan bahawa gaun ini direka dari luar negara, dibawa ke sini kemudiannya dihadiahkannya pada aku dan tidak pernah ku jangka dapat memilikinya sekaligus dapat menggayakannya.


Apa yang lebih mengkagumkan di bawah baju itu terdapat sepasang sepatu kaca. Begitu unik rekaannya sehingga mata aku terpesona. Aku memakai sepatu itu lalu menggayakannya seketika, terasa diri sebiji seperti Cinderella yang dibawa khas dari zaman dahulukala. Walaupun begitu, aku takut-takut juga kalau sepatu ini pecah, maklumlah aku tidak pernah memiliki sepatu kaca dan inilah pertama kali aku memilikinya dalam seumur hidup aku. Jadi, terasa janggal untuk memakainya pada hari-hari biasa. Mungkin aku akan memakainya di hari yang istimewa sahaja. Ada juga manusia yang bermurah hati menghadiahkan aku hadiah yang termahal ini juga merupakan pertama kali aku dapat disepanjang hidupku. Pandai pula orang yang mengirimnya mengagak saiz baju dan kasut aku. Semuanya muat-muat sahaja dan cukup sempurna.

Kalau ami dan Tuty Erriyana tengok, aku pasti mereka juga akan turut kagum tapi sayangnya kedua mereka tidak berada di rumah sekarang ini, katanya hendak mengunjungi saudara kami yang berada di Sungai Ara sebab sudah lama dia tidak menjengah mereka. Aku tidak ikut sama kerana malas hendak menempek di rumah orang. Aku lebih selesa bermalas-malasan di rumah sahaja dapat juga melayan mata yang semakin menggila jika terlebih melayannya. Tidak panjang anganku diulit akal, telefon bimbitku yang berada di atas kerusi yang telah ku lemparkan setelah mendapat hadiah bertuah berdering nyaring. Hish, kacau daun betullah. Tidak puas hendak berangan cuba berada di dalam diri Cinderella ada sahaja yang mengacau. Selalu macam itu, menyampah betul, hati aku bergetus hebat membebel pada pemanggil yang mengganggu keindahan diri aku.


Pantas sahaja aku mencapai telefon yang semakin menjerit kesakitan. Aku melihat di skrinnya dan tertera nama TENGKU IRFAN. Hati aku berdetak sekejap sebelum panggilan itu terus ku jawab. Apa mimpi Tnegku Irfan yang sudah lama menghilang menelefon aku. Itu pun di waktu ini? Aneh sungguh jejaka ini macam biskut Chipsmore sekejap hilang dan sekejap muncul kembali. Aku menjawab panggilan itu tanpa rasa curiga.


2

Sebaik sahaja pintu pagar ditutup, aku terkejut melihat sebuah kereta kuda yang dihias indah siap dengan pemandunya sekali telah bersedia menanti aku untuk dibawa pergi. Aku terkesima sebentar kerana aku masih tidak percaya yang aku akan menaiki kereta kuda untuk ke tempat temujanji yang diatur kali ini. Selepas ini apa lagi kejutan yang menanti aku lagi agaknya. Aku tidak dapat membayangkan tetapi hati aku cukup gembira dengan usaha yang telah dilakukan oleh Tengku Irfan. Aku rasa seperti berada di alam fairy tale yang realiti. Tengku Irfan ini betul-betul ingin menjadikan aku Cinderella yang sebenar. Aku semacam tidak percaya jiwa Cinderella kini telah bersatu dengan aku. Aku seperti orang jakun sekejap ketika berada di dalam perut kereta kuda yang sedang membawa aku pergi. Aku sangkakan hanya Yafiz sahaja yang gila yang suka buat kerja mengarut tetapi aku tidak sangka ada juga orang lain yang segila Yafiz. Hati aku berdetak, adakah Tengku Irfan ini jejaka jelmaan Yafiz setelah jejaka itu pergi tanpa sebarang khabar berita? Entahlah, aku tidak dapat menjawab soalan itu. Apa yang penting malam ini aku betul-betul gembira dengan kejutan yang tidak pernah aku terduga. Senyuman aku masih tidak hilang sepanjang aku berada di dalam kereta kuda.






No comments: