Friday, March 21, 2008

Janji Seorang Puteri - Di Manakah Sahabat Ku?








KENAPA HARUS DIPISAHKAN DENGAN SAHABATKU WALAUPUN RUPANYA TIDAK SEPERTI MANUSIA LAIN. SESUNGGUHNYA HANYA DIA YANG MAMPU MENGEMBALIKAN KEGEMBIRAAN DI DALAM HATIKU INI ...




“Kenapa Arash tidak datang menemuiku hari ini? Kenapa dia tidak mengendahkan panggilanku? Adakah dia sudah bosan untuk bersahabat dengan ku? Kalau begitu, kenapa dia meminta aku menemui dirinya setiap hari? Kenapa dia berjanji akan menceriakan hidup aku sedangkan dia tidak mampu untuk memenuhi janji itu. Dia yang mengukir janji tapi dia juga memungkirinya. Kenapa takdir hidup aku selalu begini? Baru sahaja aku ingin merasakan kegembiraan tetapi dengan cepat ia dirampas daripada aku. Kenapa Arash? Kenapa kau buat aku begini seperti barang yang tiada nilainya? Adakah persahabatan aku juga tidak berharga buatmu? Kenapa kau mewujudkan kembali kesedihan itu di dalam hatiku? Kenapa Arash? Kenapa?” Puteri Ezza merintih sayu lalu membawa dirinya ke salah sebuah batu yang terdapat di sungai itu lalu bertenggek ke atasnya sambil meratapi nasib malang dirinya. Apa yang menjadi kegembiraan hatinya semuanya telah dirampas. Kenapa takdir hidupnya begitu? Tidak layakkah dia untuk bergembira seumur hidupnya. Puteri Ezza menyeka air matanya yang semakin lebat turun membasahi pipi. Dia terkenang saat-saatnya bersama Arash. Dia rindukan dengan pemuda yang selalu menceriakan hatinya. Namun, dia tidak tahu kenapa Arash juga menyisihkan dirinya dalam persahabatan mereka. Dia tidak tahu apa kesalahannya sehingga Arash memutuskan persahabatan mereka tanpa sebarang kata. Puteri Ezza benar-benar sedih.

“Seorang diri sahaja hari ini? Tak bertemu sahabat tempang yang hodohkah? Hmm ... sunyi sungguh taman usang hari ini, tiada lagi burung-burung yang bernyanyi untuk menghiburkan hati yang lara.” Teguran Puteri Ezna secara tiba-tiba amat mengejutkan dirinya. Puteri Ezza segera memalingkan wajahnya menghadap wajah Puteri Ezna. Ternganga sedikit mulut Puteri Ezza kerana tidak percaya Puteri Ezna mampu mengesan tempat persembunyian yang merupakan tempat pertemuannya dengan Arash. Dia tidak tahu bagaimana rahsia tempat ini boleh terbongkar dengan begitu cepat sedangkan dia sudah berusaha untuk menyembunyikannya daripada pengetahuan orang. Bagaimanakah ia boleh terjadi? Puteri Ezza tidak mempunyai jawapannya.

“Kenapa adinda tengok kekanda macam tu? Adinda terkejut bagaimana kekanda boleh tahu tempat pertemuan adinda dengan pemuda tempang yang hodoh tu? Ha ha ha ... Sanggup adinda berkawan dengan dia yang tidak tahu daripada mana asal usulnya. Adinda tahu tak, apa yang adinda lakukan ini boleh memalukan ayahanda dan bonda sekiranya ada orang yang melihat ketika adinda bersama dengan pemuda yang tidak serupa manusia itu. Adinda tu puteri diraja, tolong jaga reputasi kita.” Sinis sekali sindiran Puteri Ezna. Puteri Ezza tiba-tiba naik radang apabila sahabatnya dihina sebegitu rupa.

“Kekanda Ezna! Kekanda tidak berhak untuk menghina sahabat adinda begitu. Kanda tidak tahu betapa murninya persahabatan yang dihulurkan oleh Arash. Hanya dia yang memahami adinda dan tahu apa keinginan hati adinda sedangkan kekanda yang merupakan kekanda kandung adinda sendiri tidak pernah cuba memahami keinginan hati adindanya. Adinda tidak bangga mempunyai kekanda sebagai kekanda adinda. Sepatutnya kita dua beradik boleh menjadi sahabat baik dan berkongsi segala-galanya tapi sayangnya kekanda tidak mahu dan menyisihkan adinda hanya kerana rupa adinda tidak secantik kekanda. Adinda tidak kisah bagaimana rupa Arash kerana bagi adinda dalam sesebuah persahabatan rupa paras tidak diambil kira. Untuk apa rupa paras yang elok sedangkan hati kita sering disakiti. Lebih baik rupa parasnya tidak cantik asalkan kita selesa bersahabat dengannya. Adinda tidak mahu mendengar apa-apa penghinaan kekanda terhadap Arash lagi. Dia sahabat adinda dan akan kekal begitu sehingga selama-lamanya.” Puteri Ezza meluahkan segala yang terbuku di dalam hatinya. Puteri Ezza berasa puas dapat meluahkan isi hatinya yang terpendam selama ini. Manakala wajah Puteri Ezna merona merah menahan rasa geram yang melanda di dalam hatinya.

Janji Seorang Puteri - Dirinya Diintai




WAJAH YANG TIDAK MENARIK, WAJARKAH MENJADI PENGHINAAN SEJAGAT SEDANGKAN IA ADALAH ANUGERAH ALLAH SWT ... DALAM DIAM PUTERI EZZA DIINTAI NAMUN TEGAKAH SI PENGINTAI MENUNJUKKAN DIRINYA?




“Apakah sememangnya lumrah di dalam dunia ini yang hodoh hanya berkawan dengan yang hodoh dan yang jelita hanya berkawan dengan yang jelita? Dimanakah keadilannya jika itu lumrah alam? Kenapa harus tercipta undang-undang sebegitu di dalam persahabatan? Tidak adil untuk kami yang berwajah hodoh, undang-undang sebegitu air sungai. Sememangnya tidak adil dan ia terlalu kejam. Aku tidak dapat menerimanya, air sungai. Aku sunyi tanpa teman berbicara. Aku sepi kerana tiada siapa yang sudi melayani aku. Kenapa kekanda Ezna selalu memulaukan aku? Apa salah aku? Adakah kerana aku berwajah hodoh maka itu menjadi kesalahan aku untuk rapat dengan kekanda Ezna? Kekanda Ezna tidak patut melayani aku begitu kerana aku adalah adinda kandungnya. Darah dagingnya sendiri. Kenapa layanannya begitu teruk buat aku? Aku tidak boleh tahan lagi, air sungai ... jika aku selalu diperlakukan seperti orang asing oleh kekanda Ezna. Hati aku sakit!” Puteri Ezza semakin terisak ketika dia memikirkan nasibnya yang tidak dihiraukan oleh kekanda kandungnya sendiri. Mata Puteri Ezza juga sudah bengkak dan merah akibat terlalu banyak menangis namun dia puas kerana dapat meluahkan apa yang tersirat di dalam hatinya dengan sikap Puteri Ezna selama ini. Dia sudah tidak mampu untuk memendam perasaan lagi.

Di kejauhan, Puteri Ezza tidak sedar ada sepasang mata yang sedang memandang ke arahnya dengan dalam. Orang itu turut merasai kesakitan yang dialami oleh Puteri Ezza, namun dia tidak mampu untuk menonjolkan diri walaupun hanya untuk memujuk Puteri Ezza yang sedang berduka kerana dia takut Puteri Ezza akan melarikan diri setelah melihat rupanya yang tidak serupa manusia. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk memandang Puteri Ezza daripada jauh sahaja. Itu lebih baik daripada menakutkan puteri itu.

Saturday, February 23, 2008

NOVEL TERLARIS 2007 IV: HANYA DIKAU : Cinta Datang Lagi ...


Bertemu dengan mu, bagaikan mendapat sebutir permata yang berharga. Adakah cinta itu bertandang lagi di hati ini. Mampukah aku mengharungi cinta itu semula dengan melupakan peristiwa lama yang masih kukuh mencengkam sanubari? Ahh … aku buntu untuk menilainya!


“Ira ... sebelum saya pergi ke Korea, saya ingin menyarungkan cincin berlian emas putih ini sebagai tanda untuk awak mengingati saya sepanjang ketiadaan saya. Saya harap, awak tidak akan menanggalkannya. Izinkan saya menyarungkannya sekarang.” Xu Da Feng terus menyarungkan cincin itu ke jari manis Ira Fashua di sebelah kiri dengan penuh perasaan romantis.

Sekali lagi Ira Fashua menarik nafas panjang dan lega kerana fikiran negatif yang datang bertandang tadi tidak seperti difikirkan. Alhamdulillah. Bibir Ira Fashua mengukir perlahan-lahan mengukir senyuman terharu kerana inilah kali pertama dia dihargai seumpama itu selepas dia dikecewakan dengan teruk suatu ketika dahulu. Bergenang air mata Ira Fashua ketika melihat cincin itu tersarung di jari manisnya. Melihat pada keadaan Ira Fashua, perlahan-lahan Xu Da Feng mengangkat wajah wanita yang semakin mendapat tempat di hatinya itu.

“Ira ... kenapa awak menangis? Saya pergi tidak lama Ira. Awak janji ye ... akan tunggu kepulangan saya.” Xu Da Feng menyapu air mata yang mula tumpah ke dataran pipi Ira Fashua.

“Sebenarnya saya terharu kerana selama ini tidak ada seorang pun yang menghargai saya seumpama ini. Terima kasih Da Feng kerana memberi impian yang indah untuk saya mengenanginya. Insyaallah ... jika saya telah dijanjikan berjodohan dengan awak, pasti kita akan bersatu kelak” Ira Fashua juga mengkalungkan harapan kepada Xu Da Feng kerana tiba-tiba sahaja keyakinan bertandang di hati Ira Fashua bahawa inilah jodohnya yang selama ini dinantikannya.

Ketika sandiwara itu sedang berlangsung dengan penuh dramatis, ketika itulah Erze Zullis memasuki bilik Ira Fashua tanpa mengetuk pintu biliknya terlebih dahulu. Terperanjat Ira Fashua dan Xu Da Feng ketika menerima kunjungan daripada Erze Zullis secara tiba-tiba. Pantas Ira Fashua mengesat air matanya yang telah tumpah kerana malu jika dilihat oleh Erze Zullis dan dia tidak mahu menjadi mangsa ejekan pemuda itu lagi.

“Hai Da Feng ... bila awak datang? Kenapa tak jumpa saya dulu? Ada apa-apa perkara yang mustahak ke?” Kasar sekali Erze Zullis menegur dan menghampiri kedua-dua mereka di mana tangan Xu Da Feng masih lagi menggenggam jari-jemari kanan Ira Fashua. Hatinya yang cemburu bertambah cemburu melihat kepada tautan tangan uda dan dara itu.

“Saya cuma datang untuk cek keadaan Ira sama ada dia sihat ataupun tidak dan ...” Sebelum sempat Xu Da Feng menghabiskan ayatnya, Erze Zullis menyampuk dengan pantas.

“Oh ... nak cek. Tengok Fashua ... dia dah jadikan awak kertas ujian.” Erze Zullis pantas menarik tangan Ira Fashua sehingga terlepas tautan tangan Xu Da Feng.

“Kertas ujian? Apa maksud dia?” Xu Da Feng mengerut dahi kehairanan. Ira Fashua menjeling geram kepada Erze Zullis yang tidak diundang kunjungannya ke situ.

“Tak ada ... dia cuma bergurau saja tu, Da Feng ... awak jangan ambil serius sangat dengan kata-katanya.” Ira Fashua cuba menutup perasaan geram yang telah pun bertandang di dalam hatinya dengan sebuah ukiran senyuman.


Wednesday, February 20, 2008

NOVEL TERLARIS 2007: III - HANYA DIKAU : Perbezaan Usia, Adakah Ia Menjadi Penghalang?


Perbezaan usia di antara kita tidak mampu menghalang diriku daripada terus mencintai dirimu … Tidak layakkah aku memiliki sekeping hatimu … IRA FASHUA! Walaupun diri ini lebih muda daripada dirimu. Berikan aku peluang, akan aku buktikan bahawa akulah yang terbaik dan terlayak untuk bertahta di hatimu …





“Helo, Ira sini. Siapa tu?” Ira Fashua tetap tidak lupa dengan bunga-bunga bahasanya apabila menjawab telefon.

“Fashua ... saya nak awak jangan menerima pinangan tu. Tolonglah. Saya merayu pada awak agar jangan menerima pinangan tu. Ye?” Ira Fashua mengerut dahi kehairanan dengan permintaan Erze Zullis itu.

‘Kenapa dengan Mr. Bean ni? Dah gila agaknya suka-suka hati suruh aku menolak pinangan tu sedangkan aku sudah pun menerimanya. Nak kena hamput dengan mama aku? Minta maaflah mamat tongkol, aku tak kan lakukan apa yang kau suruh kerana kau bukan pengarah di dalam hidup aku.’ Ira Fashua berdiskusi di dalam hati sebelum mengeluarkan kata-katanya.

“Awak dah gila ke ... nak suruh saya tolak pinangan tu sedangkan saya telah pun menerimanya. Awak nak mama saya hamput saya ke? Kenapa dengan awak ni, tiba-tiba bertukar watak? Awak jangan nak mengarah-arah saya kerana saya tak kan dengar cakap awak kali ni. Saya yang akan berkahwin jadi saya mempunyai hak untuk menentukan dengan siapa saya akan membina mahligai bahagia itu. Awak tak ada hak untuk masuk campur dalam urusan hidup saya. Faham?” Sedas peluru tembakan berpandu Ira Fashua berikan kepada Erze Zullis. Termangu-mangu Erze Zullis menerima jawapan itu, namun dia tidak berputus asa untuk memujuk hati degil Ira Fashua.

“Fashua tolonglah beri saya satu peluang untuk bertahta di hati awak. Saya janji akan membahagiakan awak hingga ke akhir hayat saya. Tolong jangan menerima pinangan itu kerana saya. Saya sudi menjadi suami awak dan membina mahligai bahagia yang awak sering impikan tu. Tolonglah Fashua ... jangan hampakan harapan hati saya.” Erze Zullis merayu dengan nada yang lebih romantis lagi sehinggakan membuat Ira Fashua terkedu seketika.

‘Biar betul? Pengarah aku ke tu? Hish ... tak mungkinlah!’ Ira Fashua menolak apa yang telah didengarnya lagi.

“Awak ni betul-betul dah hilang akal kot? Awak dengar baik-baik ... saya dah menerima pinangan itu dan saya tak kan berganjak dengan keputusan yang telah saya buat. Saya tetap akan berkahwin dengan orang yang telah meminang saya walaupun dia tidak menepati ciri-ciri lelaki idaman kalbu saya. Lagipun, saya tidak pernah menyukai awak, Erze Zullis. Sekelumit perasaan pun tidak pernah bertandang di hati saya untuk awak. Jadi, buat apa saya menolak pinangan tu kerana awak? Lainlah kalau saya menolak pinangan tu kerana Da Feng sebab saya sememangnya sudah jatuh hati dengan Da Feng. Namun, saya rasa ... jodoh saya telah ditetapkan dengan orang lain dan bukannya dengan Da Feng. Saya redha dalam menerima jodoh ini. Jadi, awak tak perlulah nak berangan-angan untuk melihat saya menolak pinangan itu kerana tiada apa yang akan berubah? Adakah penerangan itu jelas pada awak?” Ira Fashua telah menetap bisikan hatinya agar tidak tergoyah setelah pinangan yang datang diterimanya. Erze Zullis mendengus kasar di hujung talian.

“Awak ni memang degil! Awak dengar sini baik-baik Fashua ... saya berjanji dengan menjunjung Al-Quran bahawa satu hari nanti awak pasti akan menjadi milik saya. Hanya milik saya seorang! Faham? Orang lain tak kan boleh memiliki awak jika saya tak boleh memiliki awak!” Erze Zullis menghempas gagang telefon dengan satu perasaan geram yang melanda hatinya. Hati batu Ira Fashua memang sukar untuk dilembutkan. Ira Fashua sedikit bengang gegendang telinganya setelah gagang telefon dihempas oleh Erze Zullis.

“Dah gila agaknya budak kecik ni! Suka-suka hati dia saja nak aku ikut cakap dia. Dia ingat ... dia tu pengarah aku disepanjang hayat hidup aku ke? Tak padan dengan umur muda nak mengajar aku! Memang biul! Sewel! Mamat tongkol! Mr. Bean! Huh!” Ira Fashua juga menuruti jejak Erze Zullis dengan menghempas gagang telefon kepunyaannya di bilik pejabat itu untuk melepaskan kebengangan yang bersarang di hatinya.





Ahhh … Aku Tidak Tahu Bagaimana Lagi Untuk Menawan Sekeping Hatimu Yang Terlalu Keras Bak Batu Kerikil. Walau Apa Pun Terjadi Di Antara Kita, 1 Sahaja Ingin Aku Khabarkan Padamu Bahawa HANYA DIKAU Yang Sentiasa Bertahta Di Hatiku Dan Hanya Lelaki Ini Yang Selalu Mencintai Dirimu … Rintihan Hati Yang Lara : Erze Zullis



NOVEL TERLARIS 2007: II - HANYA DIKAU : Menyusahkan Aku Saja Budak Kecik Ni ...


Kenapa diri ini selalu disusahkan olehmu? Kekadang menerbitkan rasa benci yang menebal di hatiku ini hanya kerana kau sering menyusahkan aku!




“Helo.” Mata Ira Fashua masih lagi terpejam ketika menjawab panggilan telefon itu.

“Helo tuan puteri! Masih tidur lagi? Awak tahu tak sekarang ni sudah pukul berapa? Bila nak sampai ke pejabat? Encik Adzam dari Rubber Max dalam perjalanan ke sini, tahu tak ... untuk satu urusan jual beli yang telah awak sendiri persetujui. Pandai-pandai awak mengatur mesyuarat dengan mereka ... tak kan awak tak nak menghadirinya? Pengurus jenis apa awak ni, hah? Bangun cepat, awak dah tak ada masa nak bersantai-santai lagi sebab mesyuarat tu akan berlangsung pada pukul sepuluh pagi nanti. Kalau awak tak ada, sia-sia sahaja mereka datang. Faham?” Daripada mata yang masih mengantuk, kini mata Ira Fashua terbuka luas apabila mendengar suara gergasi yang menerjah ke lubang telinganya.

‘Apa hal mensyuarat akan berlangsung pada pukul sepuluh pagi hari ni pula ... Bukankah aku dah tetapkan pada hari Isnin pukul sepuluh pagi. Budak kecik ni saja nak mengganggu tidur aku. Cuti-cuti nak tidur lama sikit pun tak boleh.’ Ira Fashua menyedekahkan rungutan pertamanya buat Erze Zullis.

“Awak ni ... kenapa nak sindir-sindir orang ni? Saya dah tetapkan mesyuarat tu dengan Encik Adzam pada hari Isnin. Takkanlah mesyuarat yang akan berlangsung pada hari Isnin, Encik Adzam nak datang hari ni pula? Tak masuk akal betullah. Awak jangan nak main-mainkan saya.” Ira Fashua memarahi Erze Zullis yang telah mengganggu lenanya yang diulit intan.

“Siapa yang nak main-main ni? Awak tak tahu ke ...mesyuarat tu dah ditukar ke hari ni. Awak tak ada pilihan, Fashua ... awak kena datang hari ni juga. Hari Isnin tak ada sebarang mesyuarat untuk awak.” Jelas Erze Zullis dengan nada suara yang serius. Sekali lagi mata Ira Fashua terbuntang mendengarnya.

“Hah? Mesyuarat hari Isnin telah ditukarkan hari ni? Siapa yang tukar? Saya tak tukar pun? Encik Adzam sendiri yang setuju mesyuarat tu akan diadakan pada hari Isnin.” Ira Fashua masih lagi ingin bertegang urat dengan Erze Zullis.

“Saya yang tukarkannya kerana hari Isnin kita ada kerja lain yang lebih penting yang hendak dibuat. Maaf kerana memberitahu awak pada saat-saat yang terakhir? Saya tak peduli apa jua alasan awak ... awak kena sampai ke pejabat ini dalam masa setengah jam. Jangan biar tetamu kita menunggu kedatangan awak. Saya tak suka! Awak kena jaga prestasi syarikat kita juga.” Arah Erze Zullis lagi dengan nada yang semakin tegas. Ira Fashua terkumat-kamit mulutnya tanpa suara menahan rasa geram. Apabila tidak mendengar sebarang bicara balas daripada Ira Fashua, sekali lagi Erze Zullis menerjah suara kasarnya sehingga tertusuk terus ke dalam gegendang telinga Ira Fashua.

“Awak dengar tak? Jangan nak berkhayal lagi! Pergi siap cepat! Setengah jam saja, ingat?” Erze Zullis memberi amaran pula.

“Hei ... awak ingat rumah saya ni dekat ke nak sampai ke sana dalam masa setengah jam? Saya akan sampai ke sana dalam masa satu setengah jam. Saya tak peduli jika mereka terpaksa menunggu saya. Siapa suruh tukar waktu mesyuarat tak bagi tahu saya terlebih dahulu? Saja nak menyusahkan orang. Huh!” Ira Fashua menghempas kuat gagang telefon sehingga mampu membengangkan telinga Erze Zullis di sebelah sana. Walaupun telinganya bengang dengan hempasan telefon itu, namun Erze Zullis masih mampu menyimpul senyuman kerana dia telah berjaya mendera Ira Fashua sekali lagi.

NOVEL TERLARIS 2007: I - HANYA DIKAU : Perkenalan Kita ...


HANYA DIKAU

Perkenalan yang terjadi antara kita memang unik. Hanya kerana sepatu bertumit tinggi memutik pelbagai perasaanku pada mu ...

Pantas juga Ira Fashua mengatur langkah kaki ke balai ketibaan untuk menyambut kepulangan Nuradriana Hany. Dalam keadaan yang kelam kabut itu, Ira Fashua tidak sedar dia telah terpijak kaki salah seorang penumpang yang berada di dalam penerbangan yang sama dengan Nuradriana Hany. Habis bagasi orang itu terjatuh dan Ira Fashua terkejut dengan jeritannya yang garau dan kuat itu. Selamba sahaja Ira Fashua memandangnya tanpa perasaan bersalah. Bukan sahaja tanpa kata kemaafan, malah Ira Fashua boleh menjelajahi wajahnya dengan mata yang begitu poyo sekali. Melihat sahaja wajah Ira Fashua yang sebegitu rupa, sedikit kegeraman dan secalit kemarahan terpalit di dalam hati pemuda yang telah dipijak kakinya oleh Ira Fashua.

‘Wah ... boleh dia renung aku dengan wajah yang selamba? Bukan dia nak minta maaf ke apa ... macam aku pula yang pijak kakinya. Woi! Kaki aku ni masih berdenyut sakit tau! Dahlah kasut yang kau pakai tu bertumit tinggi halus. Kau ingat tak sakit ke kena pijak macam tu? Aku pakai kasut yang serupa, pijak kaki kau balik ... baru tahu!’ Pemuda itu menggerutu di dalam hati diatas sikap selamba Ira Fashua. Namun, lain pula bicara hati Ira Fashua di kala itu. Sempat lagi dia menilik perwatakan pemuda itu.

‘Sakit ke kaki tu? Aku pasti dah berdenyut sakan. Hahaha! Tapi aku peduli apa? Siapa suruh jalan tak tengok orang. Betul ke dia yang tak tengok orang atau aku yang tak nampak dia? Ah, lantaklah ... janji aku tak bersalah. Ye ke aku tak bersalah? Hehehe! Maaflah kawan, aku tak sengaja sebab aku nak cepat ni. Lain kali saja aku minta maaf, tu pun kalau kita berjumpa lagi. Nampak daripada gayanya macam muda lagi, dalam lingkungan dua puluh empat tahun kot kalau tak silap aku. Ah, budak-budak ... pasti dia boleh maafkan aku yang lebih tua daripadanya. Okeylah, aku pergi dulu.’ Galak Ira Fashua mengejek di dalam hatinya.

Ira Fashua mula hendak mengatur langkahnya semula kerana dia pasti Nuradriana Hany sudah keluar daripada balai ketibaan, namun sebelum sempat dia menyusun langkahnya ... diri Ira Fashua ditegur oleh pemuda yang masih berdenyut sakit kakinya.



Pertama kali memandang dirimu, hatiku telah terpaut. Kau mampu mengundang pelbagai rasa walaupun kita berlainan agama dan juga bangsa. Sesungguhnya, Hanya Dikau yang telah menarik rasa cinta untuk terus berputik di dalam hatiku ...
“Oh .. inilah Ira Fashua yang sering meniti namanya di bibir papa saya. Cantik orangnya dan mampu menawan kalbu.” Puji Xu Da Feng ikhlas. Ira Fashua semakin tersipu malu. Sememangnya penampilan Ira Fashua pada hari itu benar-benar menonjolkan kecantikan sebenar wanita Asia.

“Tak adalah ... saya biasa sahaja. Apakhabar Encik Da Feng?” Ira Fashua merendah diri.

“Saya puji awak dengan ikhlas, Ira. Awak sememangnya menawan dan jarang saya bertemu dengan wanita Asia secantik awak. Tidak rugi syarikat kami berkerjasama dengan kilang awak selama ini.” Xu Da Feng tetap tegas dengan kata-katanya. Ira Fashua tidak mampu untuk berkata-kata lagi selain menguntum seulas senyuman yang teramat indah untuk pemuja dirinya.

Erze Zullis yang berada berhampiran dengan mereka semakin menyemarak api cemburunya apabila mendengar pujian yang tinggi melangit dikalungkan untuk Ira Fashua. Dia tidak tahu kenapa perasaan itu harus hadir sedangkan selama ini dia tidak menghiraukan Ira Fashua. Lalu dengan wajah yang tebal dia menyelit dengan memperkenalkan dirinya kepada Xu Da Feng.

“Hai Encik Xu Da Feng. Saya Erze Zullis pengarah urusan kilang Armanis.” Erze Zullis menghulurkan tangannya kepada Xu Da Feng dan salamnya bersambut. Jelas terpancar pada wajah Erze Zullis ada riak tidak senang dengan kemesraan di antara Ira Fashua dan Xu Da Feng. Ira Fashua tidak mahu menimbulkan sebarang sengketa di antara mereka lalu dia turut memperkenalkan Erze Zullis yang telah datang bersama-sama dengannya.

IV - HATI INI MILIK SIAPA : Milik Akukah Bahagia Itu?








KEBAHAGIAAN YANG KU DAMBA, MAMPUKAH IA BERTANDANG SEMULA?




Puas hatiku dapat meluahkan apa yang terbuku di dalam karung dada ini.

Aku harap dengan penjelasan aku ini, Thalia akan jelas bagaimana bentuk perasaanku terhadap Hezriq selama ini.

“Berhenti!" suara ketegasan yang lantang kulaungkan untuk .....

Semua mata memandang ke arahku kini. Umi, abah, adik-beradikku, sanak saudaraku, keluarga Hezriq dan juga keluarga Danish saling berpandangan dengan sikapku itu. Habis sudah kesopanan bakal raja sehari yang telah kupupuk sedari tadi. Aku membalas setiap pandangan mata mereka dengan satu pandangan yang menjengkelkan.